`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Thursday, March 18, 2021

10 ditahan tipu jual sarung tangan menerusi media sosial

 

Sebanyak 98 kes penipuan penjualan sarung tangan melibatkan kerugian lebih RM120 juta dilaporkan sehingga 14 Mac.

KUALA LUMPUR: Seorang wanita Mongolia antara 10 orang yang ditahan kerana disyaki terlibat dalam sindiket penipuan penjualan sarung tangan menerusi media sosial.

Kesemua mereka yang terdiri daripada lapan lelaki dan seorang wanita tempatan serta seorang wanita Mongolia berumur 21 hingga 40 tahun itu ditahan dalam beberapa siri operasi di sekitar Negeri Sembilan, Johor, Selangor dan Kuala Lumpur, Isnin lepas.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Zainuddin Yaacob berkata dalam operasi itu, polis merampas antaranya 12 unit telefon bimbit; 14 keping kad ATM; dua buku cek; lapan set pelbagai dokumen; tiga kereta pelbagai jenis; satu dokumen Suruhanjaya Syarikat Malaysia; dan wang tunai RM6,106.

Hasil siasatan polis mendapati sindiket itu akan menarik minat pembeli untuk membeli sarung tangan dengan harga murah serta memperdaya mangsa dengan menggunakan nama syarikat pengeluar sarung tangan terkemuka di negara ini bagi menarik minat syarikat pembeli dari dalam dan luar negara.

“Sindiket kemudiannya akan memberikan pelbagai alasan sehingga syarikat pembeli perlu melakukan pembayaran keseluruhan bernilai jutaan ringgit sebelum gagal dihubungi dan menghilangkan diri,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Zainuddin berkata pandemik Covid-19 yang melanda menyebabkan permintaan luar biasa dalam pembekalan dan penjualan barang keperluan seperti pelitup muka dan sarung tangan di seluruh dunia dan keadaan itu dilihat sebagai peluang kepada ahli sindiket mengaut keuntungan dengan kaedah memperdayakan mangsa melalui penjualan sarung tangan yang tidak wujud.

“Kini, sindiket penipuan penjualan sarung tangan menjadi satu trend jenayah yang kian meningkat kerana permintaan tinggi dari dalam dan luar negara.

“Hingga 14 Mac tahun ini, sebanyak 98 kes dilaporkan berkaitan penipuan penjualan sarung tangan melibatkan kerugian lebih RM120 juta,” katanya.

Sehubungan itu, polis sekali lagi menasihatkan orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan tawaran jualan murah daripada pihak yang tidak pasti kesahihannya dan sentiasa membuat semakan ketulenan transaksi serta memastikan urusan jual beli dijalankan dengan perjanjian selain kaedah yang diperakui.

“Buat semakan pengesahan akaun dan telefon terlebih dahulu melalui laman sesawang http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ untuk mengenal pasti akaun itu pernah terlibat dalam kes penipuan ataupun tidak,” katanya.

Beliau berkata orang ramai juga boleh melaporkan kepada CCID Scam Response Center di talian 03-26101559 atau 03-26101599 jika mempunyai maklumat berkaitan sindiket penipuan yang terdapat dalam media sosial. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.