PUTRAJAYA: Orang Kena Tuduh (OKT) yang ditahan reman di penjara kerana tidak dapat menyelesaikan proses jaminan selepas didakwa di mahkamah, kini boleh melakukannya menerusi sidang video.
Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan (PKPMP) memaklumkan, ia susulan langkah Badan Kehakiman yang memperkenalkan penyempurnaan proses jaminan melalui teknologi komunikasi jarak jauh, yang mengecualikan kehadiran OKT ke mahkamah secara fizikal.
Menurut PKPMP, Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat telah mengeluarkan arahan berhubung penyempurnaan proses jamin melalui sidang video itu yang akan berkuat kuasa 15 Mac ini.
“OKT yang dibenarkan untuk dijamin oleh mahkamah boleh menyempurnakan proses jaminan melalui sidang video sebelum dilepaskan dari penjara,” menurut PKPMP dalam kenyataan di sini hari ini.
Sebelum ini, proses jamin bagi seseorang yang dituduh di mahkamah dan ditahan reman di penjara, mewajibkan kehadirannya ke mahkamah secara fizikal.
PKPMP menjelaskan, arahan penyempurnaan proses jamin berkenaan terpakai di Mahkamah Tinggi, Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret di seluruh Malaysia yang melibatkan OKT yang ditahan reman di dalam penjara kerana gagal menyempurnakan jamin pada hari dia dituduh di mahkamah.
Pandemik Covid-19 yang melanda telah mengehadkan pergerakan orang ramai dan tidak terkecuali OKT yang ditahan reman di penjara.
“Badan Kehakiman Malaysia berharap inisiatif itu akan dapat meningkatkan kualiti akses kepada keadilan dengan memanfaatkan penggunaan teknologi secara optimum terutama dalam pengendalian kes semasa,” menurut PKPMP. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.