`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Thursday, March 4, 2021

Jamban sultan Uthmaniyah

 

Terdapat satu sarwa pandang daripada golongan Islamis, bahawa terjadi satu malapetaka besar pada Mac, di mana ia harus diratapi setiap tahun. Malapetaka itu menurut mereka, adalah terbubarnya pemerintahan Uthmaniyah yang sering dirujuk sebagai peristiwa berakhirnya pemerintahan Islam.

Selalunya, kisah-kisah romantis pemerintahan Uthmaniyah ini akan merujuk kepada peristiwa kejatuhan Konstantinopel (Istanbul) atau kecemerlangan pemerintahan Sultan Muhammad Al-Fatih. Selain itu yang turut dibesarkan adalah siri Perang Salib dan kisah-kisah lain kehebatan peradaban Uthmaniyah yang meluaskan pemerintahan Islam ke merata dunia.

Namun demikian, satu bahagian paling penting mengenai Uthmaniyah yang tertinggal dan sering diabaikan oleh golongan Islamis adalah kisah era Tanzimat. Bahagian ini ditutup kemas atau ingin disembunyikan oleh golongan Islamis kerana ia merupakan satu bahagian yang membuatkan mereka ‘terciduk’. Mana tidaknya, inilah era atau zamannya ketika pemerintahan Uthmaniyah; yang membawa dan mendedahkan umat Islam kepada reformasi undang-undang, dan paling penting hak asasi manusia.

Era ini dikenali sebagai Tanzimat atau dalam bahasa Turkinya “Gülhane Hatt-ı Hümayunu”. Tanzimat ini diisytiharkan pada 3 November 1839. Meskipun terdapat satu tempoh masa yang agak lama untuk hak asasi manusia muncul sebagai bahagian paling penting dan utama dalam Tanzimat, ia tetap merupakan bahagian paling menonjol.

Apabila komponen hak asasi manusia ini menjelma dalam Tanzimat, umat Islam menikmati hak-hak mereka sebagai manusia yang sebenar. Misalnya, ketika inilah kuasa dan kebahagiaan sultan Uthmaniyah yang kaya-raya dan suka berpesta-pora itu disukat dan dihadkan. Jika tidak kerana Tanzimat, kemewahan dan kegilaan mereka kepada dunia mungkin akan membuatkan bumi ini terbalik.

Saya berpandangan Sultan Selim II dan Sultan Mahmut II (hujung kurun ke-18) adalah antara pemerintah Uthmaniyah yang berani kerana sanggup menerima Tanzimat ini. Bahagian atau fakta penting dalam pemerintahan yang disembunyikan Islamis ini dilaksana dan ditegakkan oleh negarawan seperti Mustafa Reshid Pash, Ali Pasha, Fuat Pasha, dan ramai lagi.

Mereka adalah wira tidak didendang kerana ramai sekali yang terkorban, hilang paksa, dan dibunuh oleh musuh-musuh Tanzimat. Saya tidak mempunyai ruang yang cukup untuk membicarakan siapakah musuh Tanzimat ini.

Satu yang amat menarik dalam Tanzimat ialah ia menyediakan reformasi dan modernisasi dalam konteks ekonomi dan undang-undang Turki. Hal ini sangat diperlukan memandangkan hubungan ekonomi antara Uthmaniyah dan dunia Barat ketika itu. Dalam hal inilah kita di Alam Melayu sedikit beruntung. Hal ini akan saya babadkan kemudian.

Mehmet Semih Gemalmaz, seorang ilmuan dalam bidang undang-undang di Universiti Istanbul pernah memperihalkan bagaimana proses hak asasi manusia ini dilakukan ketika era Tanzimat. Proses Tanzimat ini berlaku dalam dua periode iaitu pertamanya ketika 1839 dan 1856; manakala fasa kedua ialah ketika hak-hak kebebasan dituntut secara meluas dan perangkaan perlembagaan antara 1908 dan 1909.

Ketika fasa pertama, kebebasan dan hak individu dalam beragama misalnya diberikan sepenuhnya. Selain itu terdapat larangan penyeksaan dan kezaliman, juga larangan kerja paksa. Harus diingatkan ketika ini berlaku di Turki, di Alam Melayu, perhambaan dan penyiksaan masih berleluasa. Manakala kerja paksa di istana Uthmaniyah yang dimaksudkan antara lain ialah untuk “köçek” (atau jamaknya “köçekler”) iaitu “rakkas”, penari lelaki yang disuruh berpakaian perempuan untuk menghiburkan raja. Kalau tidak kerana Tanzimat nasib “köçekler” ini memang diperkotak-katikkan sahaja.

Ketika fasa kedua Tanzimat pula, iaitu antara deklarasi kemerdekaan 1908 dan pemuliharaan perlembagaan 1876, berlaku dorongan reformasi yang agak menyeluruh. Hal ini berterusan sehingga ia menjadi rasmi atau diwartakan pada 21 Ogos 1909. Ketika inilah kuasa Sultan dikurangkan, kuasa untuk parlimen dilebihkan, dan pelbagai senarai hak asasi manusia diterokai yang menjamin pelbagai liberasi.

Apakah hak asasi manusia yang dilaksanakan ketika era Tanzimat ini?

Harus dinyatakan di sini Tanzimat menamatkan hukuman mati terhadap mereka yang mengisytiharkan dirinya murtad, di mana ia dihentikan selepas 1844. Satu lagi mercu tanda penting ialah penamatan perhambaan pada 1857 (ya sebelum itu sultan Uthmaniyah membela hamba khususnya hamba perempuan) di mana syukur perniagaan hamba turut dihentikan. Titah ini dikenali sebagai “Esareti zenciyenin Men’i ile Tüccar ve Mütecasirlerİn Cezalandırılması Hakkında Fermani”.

Ekoran dari inilah terdapat dikri diraja pada 1909 untuk menghentikan sama sekali amalan perhambaan. Golongan Islamis saya percaya kurang tahu tentang ini.

Untuk menyempurnakan reformasi undang-undang dan ekonomi ketika Tanzimat, para reformis berdepan dengan kejahatan golongan yang memusuhi Tanzimat. Ada yang terpaksa melarikan diri ke Eropah dan menerima kepayahan untuk mengubah minda umat. Kerja membanteras kejumudan dan kebangangan sesetengah musuh reformasi memang lah bukan senang.

Mujurlah terdapat faktor gerakan demokrasi di Rusia pada 1905, dan di Iran antara 1905 dan 1906, juga di Jepun. Selain itu hubungan diplomatik dengan kuasa Eropah khususnya Perancis amat membantu perkembangan hak asasi manusia di wilayah Uthmaniyah.

Di Alam Melayu, percikan Tanzimat terlihat pada “Majallah Al-Ahkam” yang diadoptasi oleh kerajaan Johor. Namun, praktik pembaharuan yang baik itu hanya diambil setakat itu sahaja.

Jadi timbul soalan mengapakah golongan Islamis tergila-gilakan era pra Tanzimat yang memegahkan kuasa mutlak monarki, era untuk memancung kepala orang murtad, dan era untuk membela dan memiliki hamba yang demikian menjengkelkan? Tidakkah semua kegilaan di atas bunyinya seperti kegilaan puak ISIS?

Satu sebab yang menjolok mata ialah kerana golongan Islamis keliru dan jahil dengan sejarah Uthmaniyah dan terbodohkan dengan kebangkitan Wahhabisme di Hijaz yang sebetulnya, dalam sejarah, merupakan musuh Uthmaniyah dan bukan kawan “Khilafah Islamiyyah” yang terakhir itu.

Pada masa sama Uthmaniyah mengusahakan modernisasi dan reformasi, sang Wahhabi juga sedang bergerak dan menggunakan label reformasi, konon atas nama “Salaf” untuk membasmi bid’ah dan tahyul. Umat Melayu memang senang disheratonkan. Sekali Melayu diabah, maka seabad lamanya mereka dibedebah.

Kekeliruan ini menyebabkan golongan Islamis mencampuradukkan retorik “Harakah Islamiyyah” yang didirikan selepas itu di dunia Arab. Kegagalan membezakan mana kawan dan mana lawan ini mengakibatkan Tanzimat gagal, dan dengan pelbagai faktor luaran dan faktor dalaman seperti kebobrokan moral dan korupsi, akhirnya empayar Islam itu jatuh dan masih ditangisi oleh para Islamis pada setiap 3 Mac.

Kita yang tahu sejarah sebenar-benar merasa kehairanan entah sebab apa mereka meratap benda yang tak patut diratap.

Memanglah pelik apabila para Islamis menelan saja naratif berbeza mengenai Tanzimat, iaitu kononnya ia saat kejatuhan Uthmaniyah; padahal idea ini datang dari “aneka musuh Islam” yang pandai memutarbelitkan fakta.

Makanya hari ini, era Tanzimat yang cemerlang dan demikian penting untuk kita itu ditanggapi sebagai zaman kejatuhan yang kononnya kerana tiada peluasan baru (baca penjajahan dan penaklukan wilayah); kedua, tiada kemajuan ilmu dan penciptaan (padahal ini berlaku kerana korupsi, dan juga kekacauan adab) serta paling-paling kononnya menurut Islamis ialah kerana kuasa Eropah sudah menjadi juara.

Padahal, kita semua tahu sultan-sultan Uthmaniyah itu ramainya lahir dari rahim wanita-wanita Eropah yang sama ada dikahwini, atau digundiki oleh para pembesar Turki.

Akhir sekali untuk menutup kelemahan sendiri, para Islamis sejak pasca 3 Mac 1924 akan menuding jari kepada Kamal Attaturk. Tidak ada yang mendebatkan apakah ini semua penipuan dan penyelewengan fakta.

Untuk mereka yang pernah ke Istanbul (sebelum atau selepas umrah) dan melawat kediaman sultan Uthmaniyah – katakan di Dolmabahçe atau Topkapı – mereka pasti akan perasan ada bahagian tertentu jamban baginda diperbuat dari emas. Padahal kita selalu dengar kuliah agama di masjid perihal kezuhudan Nabi Muhammad. Atau haramnya menggunakan sudu garpu dari perak apatah lagi emas.

Sebetulnya bukan Yahudi atau Attaturk yang menajisi pemerintahan umat Islam. Kalau kita rajin memikir ketika bermusafir kita akan menggunakan akal dan berani membuat telahan dan tafsiran yang betul.- FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.