`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Sunday, March 7, 2021

Pelajar tingkatan 5 antara 6 ditahan, polis rampas dadah RM118,565

 

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah Shafee Abd Samad berkata siasatan mendapati sindiket itu menjalankan kegiatan pengedaran dadah sejak beberapa bulan lalu dan semua dadah seberat 3,228.4g tersebut untuk pasaran di sekitar negeri ini.

BUKIT MERTAJAM: Polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah selepas menahan enam lelaki termasuk seorang pelajar tingkatan lima, dan merampas heroin serta methamphetamine bernilai RM118,565, dalam siri serbuan di sekitar Pulau Pinang semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah Shafee Abd Samad berkata, bertindak hasil maklumat dan risikan sejak dua minggu lalu, polis menahan dua lelaki berusia 17 dan 26 tahun di tepi jalan di Kampung Permatang Batu pada 6.05 petang, serta merampas tiga paket mengandungi 906g methamphetamine di poket seluar serta dalam raga motosikal dinaiki.

“Polis turut merampas seutas rantai dan loket emas daripada dua lelaki itu termasuk seorang pelajar tingkatan lima, sebelum menyerbu rumah kongsi di sebuah tapak pembinaan di Taman Irama, Butterworth yang dijadikan tempat sindiket tersebut menyimpan dadah.

“Pemeriksaan dalam rumah kongsi itu, polis merampas 2,178.3g methamphetamine dan 112g heroin. Susulan penahanan dua suspek tersebut, polis menahan seorang lagi lelaki berusia 31 tahun di Flat Desa Wawasan, Sungai Rambai, namun tiada rampasan dadah daripadanya,” katanya dalam kenyataan.

Shafee berkata, lelaki yang bekerja sebagai pekerja kontrak itu dipercayai dalang utama sindiket pengedaran dadah tersebut, dan siasatan mendapati suspek terbabit mempunyai enam rekod lampau berkaitan empat kes dadah serta dua kes jenayah.

Beliau berkata, polis kemudian menyerbu sebuah bengkel membaiki kenderaan di Sungai Bakap pada 12.05 tengah malam tadi dan menahan tiga lelaki berusia 20, 22 dan 23 tahun di situ yang juga ahli sindiket pengedaran dadah tersebut.

“Dalam pemeriksaan di bengkel itu, polis merampas heroin dan methamphetamine seberat 32.23g. Siasatan mendapati tiga lelaki tersebut mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dua daripadanya positif dadah,” katanya.

Katanya dalam empat serbuan itu, polis menyita tiga motosikal iaitu Yamaha 125zr, Honda Wave dan SYM, serta sebuah kereta jenis Toyota Vios.

Beliau berkata, siasatan mendapati sindiket itu menjalankan kegiatan pengedaran dadah sejak beberapa bulan lepas dan semua dadah seberat 3,228.4g tersebut untuk pasaran di sekitar negeri ini.

“Semua mereka yang ditahan itu kini direman untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.