`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Friday, March 19, 2021

Penganut Kristian di Sabah bebas guna kalimah ‘Allah’, kata PBS

 

Setiausaha Agung PBS, Joniston Bangkuai berkata, sudah tiba masanya bagi penganut Kristian di Semenanjung menikmati hak istimewa sama menggunakan kalimah ‘Allah’.

KOTA KINABALU: Parti Bersatu Sabah (PBS) meminta kerajaan mempertimbangkan rayuan yang difailkan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan penganut Kristian menggunakan kalimah “Allah”.

Setiausaha Agungnya, Joniston Bangkuai berkata, kalimah “Allah” bebas digunakan penganut Kristian di Malaysia Timur kerana isu itu selesai sedekad lalu.

“Ini bukan isu baharu dan ia telah diselesaikan bagi kes Sabah dan Sarawak sejak sedekad lalu dengan apa yang dipanggil 10 perkara SOP Idris Jala (bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri) untuk penganut Kristian di dua negeri di Malaysia Timur.

“Tidak ada halangan bagi orang-orang Kristian di Sabah dan Sarawak menggunakan kalimah ‘Allah’ dalam amalan keagamaan mereka dan sudah tiba masanya bagi rakan-rakan Kristian kita di Semenanjung menikmati hak istimewa sama,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, pendirian PBS sama seperti pengumuman kerajaan Sarawak yang membenarkan kalimah “Allah” terus digunakan orang bukan Islam di negeri berkenaan.

“Kami telah menilai dan bersetuju dengan pendirian mereka (Sarawak).

“PBS juga sedar ini juga pendirian GRS (Gabungan Rakyat Sabah) yang sebelum ini belum bersuara, sejak sebelum merdeka dan sebelum kita menjadi sebahagian daripada Malaysia, kita selalu menikmati kehidupan aman damai dalam kalangan semua rakyat Sabah tanpa mengira kepercayaan agama mereka.

“Kami akan terus memelihara perpaduan dan keharmonian agama ini. PBS sebagai parti berbilang kaum selalu berpegang kepada kepercayaan dan pendirian ini, tidak perlulah mempolitikkan isu ini dan kita tidak perlu dipengaruhi taktik pembangkang.”

Pada 10 Mac lalu, Mahkamah Tinggi memutuskan arahan Kementerian Dalam Negeri pada 1986 yang melarang penggunaan kalimah “Allah”, “Baitullah”, “Solat” dan “Kaabah” oleh orang bukan Islam tidak sah dan tidak berperlembagaan.

Justeru, Hakim Noor Bee Arifin membenarkan permohonan semakan kehakiman oleh Jill Ireland Lawrence Bill, penganut Kristian dari Sarawak, untuk menggunakan kalimah “Allah” dalam pendidikan agamanya.

Bagaimanapun Putrajaya pada Isnin lalu memfailkan rayuan terhadap penghakiman itu. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.