`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Tuesday, April 27, 2021

Bersyukur dan bersyukurlah

 

Berapa kali sudah kita, rakyat biasa, diingatkan pemimpin dan kerajaan supaya bersyukur? Tak terkira jumlahnya? Tak pun dah banyak kali. Betul tak?

Kita kerap dingatkan bersyukurlah kerana negara ini aman damai. Dan kita bersyukur kerana memang negara ini aman damai. Kalau ada sengketa pun pun tidaklah membawa kepada pertumpahan atau rampasan kuasa tentera seperti di beberapa negara lain. Oooh kita ada rampasan kuasa tetapi satu “political coup” tanpa “bloodshed”.

Kita disuruh bersyukur kerana negara ini tidak ada gunung berapi, gempa bumi, dan segala macam malapetaka yang menakutkan. Lantas kita bersyukur.

Bila kerajaan minta kita bersyukur harga petrol tidak setinggi negara jiran, kita tergamam tetapi ramai juga yang bersyukur. Begitu juga harga makanan. Kita diminta bersyukur kerana ia rendah berbanding negara lain khususnya negara jiran yang disebut tadi.

Anehnya gaji mereka yang lebih tinggi berbanding gaji kita tidak pula dibandingkan. Tetapi kita tetap bersyukur.

Ada pak menteri gesa graduan mesti bersyukur bekerja dengan gaji rendah. Bersyukurlah sekurang-kurangnya ada kerja. Begitu kata pak menteri. Betul walaupun gaji permulaan graduan rendah dibanding dengan graduan negara lain.

Ramai yang tidak senang dengan dengan nasihat pak menteri tadi khususnya graduan. Tetapi mereka akur dan berdiam diri. Banyak lagi nasihat kerajaan kepada rakyat supaya bersyukur dan rakyat sering bersyukur.

Tetapi bukan rakyat sahaja yang mesti bersyukur. Pemimpin dan kerajaan mesti juga bersyukur. Bersyukurlah kerana rakyatnya bukan seperti di sesetengah rakyat negara lain termasuk dalam kalangan negara jiran.

Di negara itu kesilapan, apatah lagi kesalahan, akan menyaksikan kebangkitan rakyat yang amat hebat. Akan ada tunjuk perasaan. Di sini ada juga demonstrasi tetapi tidaklah sepanas di sana. Malah sudah tidak ada protes pun kerana Covid-19 dan darurat.

Di sebuah negara diberitakan pemimpinnya menerima suntikan vaksin Covid-19 awal kerana mahu membuktikan vaksin selamat. Namun beliau dituduh mementingkan dirinya. Rakyat mahu mereka didahulukan sebelum pemimpin divaksin.

Sebaliknya andai pemimpin itu mengarahkan rakyat disuntik terlebih dahulu, beliau kemungkinan besar akan dituduh menjadikan rakyat bahan experiment atau ‘tikus makmal’. Maksudnya jika ada yang tak kena dengan vaksin itu rakyat lah yang akan kena.

Itu semua tidak berlaku di negara tercinta ini. Rakyat patuh walau pun pemimpin dan golongan kayangan disuntik awal dan rakyat masih menunggu giliran dengan sabar. Ada perasaan marah tetapi tidak mencetus keganasan. Oleh itu, bersyukurlah pemimpin dan kerajaan kerana memiliki rakyat penyabar .

Bukan saya mahu tengok protes berapi. Jauh sekali mahu mencadang benda yang tak patut dicadang. Saya turut syukur tidak ada keganasan. Sekadar menyatakan apa yang nyata.

Kerajaan mesti bersyukur tidak ada protes panas akibat dua darjat. Rakyat marah tetapi marah yang tidak semarah rakyat negara lain ketika mereka marah.

Begitu juga dengan SOP berubah-ubah. Peraturan buka sekolah, tutup sekolah sambil bertekad mahu teruskan sesi persekolahan pada masa jumlah kes Covid meningkat.

Seorang kawan yang anaknya masih di bangku sekolah bertanya ada kah UPSR tahun ini? Ada juga persoalan senada itu bertanya pula mengenai SPM. Mereka kebingungan dan marah tetapi sekali lagi tidaklah sampai sesuatu yang tidak terkawal. Tidakkah ini cukup untuk membuat pemimpin dan kerajaan bersyukur?

Parlimen tidak bersidang sehingga kerajaan bebas menggunakan dana. Contoh Kumpulan Wang Amanah Negara atau KWAN. Benar ia dikeluarkan bukan untuk berjoli. Sebaliknya untuk perbelanjaaan vaksin.

Pun begitu ada yang bertanya berapa jumlah sebenar yang nak dikeluarkan kerana RM5 bilion dikatakan sudah diperuntukkan melalui belanjawan untuk vaksin sebelum ini, dengan RM3 bilion dalam Belanjawan 2021 dan tambahan RM2 bilion diumumkan bulan lalu.

Pertanyaan diluah tanpa respon. Namun rakyat tetap sabar. Untuk itu kerajaan harus bersyukur. Akhirnya kerajaan bersuara dan rakyat bersyukur..Manakala kerajaan pula mesti bersyukur kerana penjelasan menteri kewangan yang mungkin tidak memuaskan hati semua tetap tidak mendatang kekecohan.

Kata Tengku Zafrul Abdul Aziz, benar kerajaan akan menggunakan RM5 billion daripada dana KWAN untuk membiayai program vaksinasi Covid-19 dan “bukan tujuan lain”. Jumlah itu ialah 25.6% daripada dana KWAN yang berjumlah RM19.5 bilion setakat Disember 2020.

Namun hakikatnya banyak langkah kerajaan yang dilihat ramai sebagai pincang. Memerangi Covid-19 kerajaan seakan hilang punca. Akan tetapi di tengah-tengah kepincangan, kelemahan, dan rungutan timbul tinjauan Merdeka Center yang mendapati rating sokongan terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin kekal stabil pada 67%.

Rating itu sebenarnya meningkat sedikit berbanding 63% yang dicatatkan pada akhir Januari yang dicatat sebelum ini.

Tinjauan terbaru ini membabitkan 2,111 pengundi di Semenanjung dengan 64% responden terdiri daripada orang Melayu, 28% Cina dan India 8%. Ia menunjukkan sokongan Muhyiddin dalam kalangan pengundi Melayu kekal kukuh pada 83% walaupun sokongan orang Cina dan India lebih rendah pada tahap 30% dan 66%.

Menurut laporan media, catatan Merdeka Center dibuat “walaupun terdapat kebimbangan terhadap ekonomi dan pandemik”.

Tentu ada yang mempertikaikan tinjaun berkenaan. Saya tidak bercadang menyentuh isu itu buat masa ini.

Yang ingin disampaikan ialah Muhyididn mesti bersyukur kerana ketika ada kebimbangan dan kemarahan terhadap cara beliau dan pentadbirannya menangani krisis pandemik dan ekonomi, hasil tinjauan memberangsangkan terbit.

Maka berkatalah Shahrir Samad, pemimpin Umno dari Johor: “Macam ni bolehlah Dewan Rakyat bersidang kembali.67% dan landslide tu. Lagi Tun Mahathir nak join (merujuk kenyataan Mahathir tempoh hari beliau sedia menimbang kerjasama dengan mana-mana pihak termasuk Perikatan Nasional sekiranya tidak ada penyangak dalam gabungan itu).”

“’Geng Publika’ patut nasihat PM Dewan Rakyat boleh bersidang. 67% boleh naik 77%,” kata Shahrir lagi (Geng Publika merujuk kumpulan dalam PAS yang menyokong Bersatu yang dipimpin Muhyiddin).

Kesimpulan terbaik, bagi saya, dibuat seorang lagi pemimpin Umno, Mohd Puad Zarkashi, juga dari Johor. Begini kata beliau: “Kalau sudah naik 3% kepada 67% maka wajar PM8 sambung sidang Parlimen atau bubar Parlimen. Kalau tidak berani bubar bermakna PM tidak percaya pada kajian tersebut.”

Kali ni tidak perlu Muhyiddin dan kerajaannya menyatakan kesyukuran untuk kata-kata seperti itu yang disuarakan dengan lantang. -  FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.