“Kita menang 13 kali, kalah sekali. Mereka kalah 13 kali, menang sekali. Beza dia antara mereka dengan kita, kita menang 13 kali, kalah sekali, semua lari.”
Ungkapan itu daripada seorang ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno pada perhimpunan tahunan parti hujung minggu lalu pasti menarik perhatian orang ramai.
Johari Abdul Ghani, bekas menteri kewangan II dalam pentadbiran Najib Razak, berterus-terang walaupun dalam jerumun singa.
Kata-katanya tidak berlapik dan beliau tidak malu-malu mendesak ahli parti beri perhatian kepada wakil rakyat PKR dan DAP yang tetap teguh dan kekal dengan parti dalam semua keadaan walaupun kalah berulang kali.
Ketua Umno Wilayah Persekutuan itu jelas merujuk kepada 13 Ahli Parlimen Umno yang beralih ke PPBM sejurus selepas PRU14.
Kupasannya ringkas namun jelas Johari bercakap mengenai betapa pentingnya maruah politik dan ketahanan.
DAP dan Pas masing-masing memenangi 42 dan 18 kerusi Parlimen pada PRU14 tanpa seorang pun menyeberang parti.
PKR berjaya meraih 48 kerusi tetapi 13 Ahli Parlimennya beralih ke PPBM atau menjadi mesra Perikatan Nasional (PN).
“Saya bukanlah nak membangga-banggakan parti orang lain – tidak sama sekali – tetapi saya nak bawa tuan-tuan melihat DAP dan PKR,” katanya pada himpunan tahunan yang terkenal dengan retorik kaum dan agama.
Perwakilan dan pemimpin yang berucap tidak pernah gagal mengkritik habis-habisan DAP, PKR, dan Anwar Ibrahim, d semua perhimpunan, hinggakan masalah sebenar yang dihadapi rakyat kurang ditonjolkan.
Ternyata Johari hari itu nekad apabila menyampaikan mesej bahawa ketahanan politik dalam partinya jadi kurang penting berbanding kuasa dan kedudukan.
Tanpa lewah beliau mengecam lompat parti, perbuatan yang merobek kestabilan politik negara.
Dengan mengetengahkan pesaing utama, DAP dan PKR, sebagai contoh, beliau menunjukkan kematangan berpolitiknya.
Sedia maklum akan penontonnya, kata-kata Johari boleh memakan diri. Terutama dalam ucapan sama beliau secara terus terang mengkritik pemimpin parti dalam pentadbiran sekarang.
Sungguh menyegarkan apabila mendengar suara waras dalam kegilaan politik yang kita hadapi sekarang.
Pembaharuan mendesak
Tidak lama selepas itu, kita dihidangkan dengan satu lagi hujah logik dan juga menyegarkan.
Ianya daripada anak perdana menteri kedua, Abdul Razak Hussein yang juga artikek Dasar Ekonomi Baru, Mohamed Nazir. Abang Nazir adalah Najib, bekas perdana menteri.
Daripada membela secara buta tuli dasar ayahnya yang dirumuskan atas alasan kaum dan politik, Nazir secara jujur menyatakan banyak prinsip dalam DEB tidak lagi berkesan, sebaliknya membawa kepada politik yang tidak berfungsi, dan perpecahan yang semakin teruk dalam masyarakat.
Bekas pengerusi kumpulan CIMB itu berkata prinsip-prinsip DEP, yang sebahagian besarnya wujud sejak diperkenalkan pada 1970, telah memperlihatkan hasilnya sekarang dalam “politik kita yang tidak berfungsi, data ekonomi kita, dan perpecahan yang semakin teruk”.
Tetapi yang paling buat orang terkesan adalah kata-kata ini: “Apakah kita harus menunggu pertempuran di jalanan atau jadi negara yang gagal, sebelum kita berurusan dengan pembaharuan?”
Nazir berkata, keadaan darurat, ketidakstabilan politik, dan kekecewaan orang ramai sekarang ini sudah cukup jadi bukti bahawa perubahan diperlukan.
Beliau berkata, kajian menunjukkan wakil rakyat dan pengundi semakin terpisah, dan pengundi tidak boleh bergantung pada Parlimen atau parti politik, yang pada dasarnya mempunyai agenda jangka masa pendek.
Kembali ke asal
Pada 2 April lalu, bekas menteri undang-undang, Zaid Ibrahim menyeru Umno kembali menjadi seperti dahulu, iaitu pada zaman penubuhan Umno, apabila parti itu berdiri atas prinsip dan etika yang kukuh.
Mendesak pembaharuan parti itu, beliau berkata, Umno harus kembali kepada perjuangan mempertahankan orang Melayu dan Islam serta menjadi organisasi yang bermoral tinggi seperti yang ditunjukkan oleh pengasasnya, Onn Jaafar.
Beliau berkata, parti itu sayangnya terjerumus ke dalam keadaan yang mana ia akan “berpecah dan pudar” tidak lama lagi, berdasarkan ucapan yang menuding jari pada pihak lain di PAU hujung minggu lalu.
Kita sedia maklum akan pantun “disangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari”. Anda tidak boleh salahkan rakyat jika mereka bertanya adakah tiga suara waras ini dapat melenyapkan pandangan pihak yang tidak mementingkan negara.
Namun maksud saya adalah tiga suara ini membuat keputusan untuk tidak bermuka-muka, dan cara mereka membedah isu berbangkit tepat dan berani.
Sebagai seorang optimis, saya yakin ada harapan suara-suara seperti itu dapat berkembang dan berpengaruh dalam membentuk pemikiran rakyat.
Tetapi ia hanya dapat dilakukan sekiranya lebih banyak lagi suara logik yang senyap menonjolkan diri dan bersuara.
Kita perlu suara kewarasan dari rakyat semua kaum, agama, parti, dan pelbagai lapisan masyarakat, dan ini mesti menjadi gerakan yang dapat menyebabkan revolusi aman bagi memperbaiki keadaan.
Semua perlu divaksinkan dengan kejujuran, rendah hati, dan tolak ansur, sebelum kita dapat imuniti kelompok terhadap pandemik politik yang disebabkan oleh perkauman, pengkhianatan, ketidakjujuran, dan ketamakan. - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.