`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Saturday, April 24, 2021

Polis tahan 75 migran naik dua kapal dari Filipina

 

Kumpulan yang ditahan itu turut termasuk lapan kanak-kanak. (Gambar PPM Sandakan)

PETALING JAYA: Seramai 75 migran dipercayai datang dari Filipina menaiki dua kapal ditahan kerana menceroboh perairan negara melalui ‘laluan tikus’ atau tidak sah di Sandakan, awal pagi Jumaat.

Ketua Polis Daerah Sandakan Mohd Azhar Hamin dipetik Bernama berkata, cubaan itu berjaya dikesan Pasukan Polis Marin (PPM) Sandakan yang melaksanakan Operasi Benteng di perairan Pulau Berhala kira-kira 8km dari sini pada 2.30 pagi semalam.

Beliau berkata 64 migran yang ditahan termasuk dua juragan kapal tersebut bukan warga Malaysia, manakala 11 lagi migran mempunyai MyKad. Ujian saringan Covid-19 ke atas mereka didapati negatif.

“Dua juragan lelaki itu masing-masing berumur 25 dan 55 tahun, manakala 73 migran lagi dalam lingkungan umur sehingga 76 tahun termasuk lapan kanak-kanak disyaki cuba menyeludup masuk ke Sandakan.

“Dua kapal ini bergerak beriringan dipercayai dari Pulau Tabawan, Filipina menuju ke Sandakan melalui laluan tidak sah.

“Turut dirampas wang tunai 109,940 Peso Filipina (RM9,363.50) daripada dua juragan itu, dipercayai kos pengangkutan migran terbabit,” katanya.

Mohd Azhar berkata dua juragan itu direman 28 hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.

Katanya dua juragan itu turut disiasat bersama 62 migran lain yang bukan warganegara Malaysia masing-masing direman 14 hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1969/53 kerana memasuki negara ini tanpa memiliki pas yang sah.

Beliau berkata 11 lagi yang memiliki MyKad masing-masing direman tujuh hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 5(2) Akta Imigresen 1969/53 kerana memasuki negara ini melalui tempat yang tidak dibenarkan atau tidak sah.

Sementara itu, Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah ACP Ahmad Ariffin berkata pertalian darah antara warga asing, khususnya dari Filipina dan penduduk tempatan di Sandakan antara faktor pendatang dari negara jiran itu berani menceroboh sempadan negara.

Atas dasar itu, beliau berkata ramai yang beranggapan mereka boleh masuk dan keluar perairan negara dengan sewenang-wenangnya tanpa menghiraukan undang-undang di negara ini.

“Kebanyakan mereka mempunyai saudara-mara di sini (Sandakan) dan beranggapan dunia ini tanpa sempadan, senang masuk dan keluar (perairan negara)…PPM sentiasa melaksanakan rondaan di perairan bagi memastikan daerah Sandakan ini tidak mudah diceroboh warga asing,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.