`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Saturday, April 3, 2021

Rakyat Korea Utara di negara ini peserta MM2H, kata KPN

 

Pada 21 Mac, kesemua kakitangan diplomatik Korea Utara dan tanggungan mereka di Malaysia berlepas pulang ke negara mereka susulan keputusan Pyongyang menamatkan hubungan diplomatik dengan Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR: Semua rakyat Korea Utara yang masih berada di Malaysia adalah peserta Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) yang dikenal pasti pergerakan mereka, kata Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador.

Berikutan itu beliau berkata, pihaknya menyerahkan kepada Jabatan Imigresen dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk menentukan masa depan mereka sama ada perlu pulang ke Korea Utara atau sebaliknya, susulan keputusan Pyongyang menamatkan hubungan diplomatik dengan Kuala Lumpur.

“Saya beri jaminan keadaan negara masih terkawal, ” katanya semalam.

Terdahulu, laporan Daily NK mendakwa Korea Utara tidak memanggil pulang ratusan pekerja, termasuk ejen rahsia Jabatan Perindustrian Pembekalan Senjata (MID) negara itu yang menjalankan penyeludupan barang mewah serta senjata di negara ini.

Laporan itu turut mendakwa, MID terbabit dengan kegiatan penyeludupan senjata dan mereka menjadikan Malaysia sebagai negara transit sebagai laluan bagi menyeludup senjata Korea Utara ke Iran, Syria dan Emiriah Arab Bersatu (UAE), termasuk “mengimport” senjata dari negara lain ke Korea Utara.

Sebelum itu, Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan belum menerima laporan berhubung dakwaan mengatakan Korea Utara masih membenarkan ejen perisik mereka menjadikan Malaysia sebagai transit untuk membeli senjata dan barangan mewah.

Pada 21 Mac lepas, kesemua kakitangan diplomatik kedutaan Korea Utara dan tanggungan mereka di Malaysia, berlepas pulang ke negara mereka susulan keputusan Pyongyang menamatkan hubungan diplomatik dengan Kuala Lumpur pada 19 Mac.

Pyongyang mengumumkan ia menamatkan hubungan diplomatik dengan Malaysia, apabila mahkamah negara ini memutuskan seorang ahli perniagaan Korea Utara boleh diekstradisi ke Amerika Syarikat, untuk menghadapi pertuduhan pengubahan wang haram.

Malaysia dan Korea Utara mewujudkan hubungan diplomatik pada 1973, serta mengecapi pelbagai pencapaian diplomatik dan perdagangan hinggalah pada 2017, apabila Kim Jong-nam, iaitu abang tiri pemimpin Korea Utara Kim Jong-un, dibunuh di negara ini. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.