`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Wednesday, April 21, 2021

Tambah senarai barang kawalan hingga 30, bukan 10 saja, kata bekas menteri

 

Salahuddin Ayub melakukan tinjauan harga di Pasar Chow Kit.

KUALA LUMPUR: Bekas menteri pertanian dan industri asas tani, Salahuddin Ayub, mendesak kerajaan menaikkan jumlah senarai barang bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa 2021 sehingga 30 jenis berbanding 10 ketika ini.

Katanya, senarai penguatkuasaan barang kawalan itu perlu dibuat dua minggu sebelum dan selepas perayaan supaya ia tidak membebankan pengguna, peniaga dan pembekal.

“Hari ini saya perhatikan senarai harga barangan kawalan maksima dikeluarkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) hanya 10 barang saja. Saya harap dalam tempoh terdekat ini KPDNHEP senaraikan paling tidak 22 hingga 30 barang keperluan rakyat yang dikawal.

“Kita zaman PH dulu buat kawalan harga 30 hari pada setiap perayaan. Ini bukan suatu khayalan, ia boleh dibuat oleh kedua-dua kementerian KPDNHEP dan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dengan melakukan perbincangan bersama pembekal dan perniaga,” katanya selepas meninjau senarai harga barangan di Pasar Chow Kit.

Salahuddin turut mendesak Menteri KPDNHEP dan MAFI kerap turun padang membuat tinjauan bagi mengawal harga barang supaya ia tidak terlalu mahal.

Katanya, pihak kementerian juga perlu mengumumkan senarai barang kawalan lebih awal supaya ia tidak membebankan peniaga dan pembeli.

“Saya dapat laporan daripada peniaga, mereka dapat barang sudah RM7.50 kos, jadi hanya 30-40 sen saja untung. Perkara ini boleh diperbaiki, sepatutnya sebelum puasa kedua-dua kementerian penting ini mengadakan pertemuan lebih awal dan memanggil semua pembekal utama barang.

“Jadi barulah kita dapat bertukar fakta dan perbandingan serta memberikan pandangan munasabah kepada peniaga supaya margin untuk mereka tidak terlalu kecil, kena ada suasana menang-menang semua pihak,” katanya.

Beliau turut memaklumkan, harga ayam beberapa hari lalu mencecah RM10, berbanding selepas ia dikawal bermula hari ini kepada RM7.90 sekilogram.

Berdasarkan notis semakan harga diterima peniaga, 10 jenis barangan dikawal ialah ayam hidup, ayam standard, ayam super, telur ayam gred A, B dan C, daging lembu tempatan, daging kerbau import (India), ikan kembung termasuk ikan mabung, serta ikan selayang.

Semalam, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Alexander Nanta Linggi, mengakui berlaku peningkatan harga ayam disebabkan peningkatan kos makanan ternakan ayam yang diimport.

Berikutan itu, KPDNHEP mengadakan beberapa sesi libat urus dengan pemilik ladang ayam terbesar di negara ini, serta perbincangan dengan MAFI, bagi membolehkan penetapan harga ayam standard dilaksanakan.

Hasilnya, harga ayam standard ditetapkan pada RM7.90 bawah SHMMP Hari Raya Puasa 2021, yang bermula hari ini hingga 20 Mei, berbanding RM7.50 pada SHMMP Hari Raya Puasa 2020. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.