`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Tuesday, April 20, 2021

Warga emas maut dihempap dahan pokok di Penampang

 

Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. (Gambar Polis)

PENAMPANG: Seorang lelaki berusia 69 tahun maut selepas dipercayai dihempap dahan pokok ketika sedang membersihkan kebunnya di Rugading Kibambangan, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira 10 pagi itu, mangsa dikatakan bersama anaknya memotong dahan kayu di kawasan terbabit.

Ketika sedang memotong kayu, satu dahan terjatuh menghempap kepalanya menyebabkan dia menjerit kesakitan dan meminta tolong.

“Anak mangsa segera menghubungi talian kecemasan, dan pasukan Balai Bomba dan Penyelamat Penampang terus bergegas ke lokasi kejadian,” kata Ketua Polis Daerah Penampang Mohd Haris Ibrahim ketika dihubungi hari ini.

Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan kecemasan ketika cuba dibawa keluar dari kebun berkenaan, kata Haris.

Menurut Haris, mangsa menetap di kebun itu selama seminggu sebelum kejadian.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, mereka menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 10.46 pagi.

Setibanya di lokasi kejadian yang terletak 13km dari balai bomba, pasukan JBPM menggunakan laluan pejalan kaki sejauh 1km ke lokasi mangsa.

“Pasukan perubatan kecemasan (EMRS) melakukan rawatan awal dan mangsa dibawa ke lokasi selamat menggunakan ‘stretcher’,” katanya, sambil mengesahkan kenyataan polis sebelum ini bahawa mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian.

Tambahnya, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.