`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Saturday, May 15, 2021

Buat laporan jika ada bukti saya seleweng dana Aid4Palestine, kata anak Hadi

 

Muhammad Khalil Abdul Hadi akan meneruskan tugasnya sebagai ketua Sekretariat Aid4Palestine yang ditubuhkan bapanya selaku Presiden PAS, biarpun dikecam pelbagai pihak.

PUTRAJAYA: Bekas Ketua Pemuda PAS, Muhammad Khalil Abdul Hadi, mencabar pihak yang mempunyai bukti terhadap dakwaan bahawa beliau menyeleweng dana badan sukarelawan, Aid4Palestine, supaya membuat laporan kepada pihak berkuasa.

Khalil turut meminta semua pihak berhenti mempolitikkan pelantikannya sebagai ketua sekretariat badan tersebut yang tidak dibayar sebarang gaji atau elaun.

Beliau menegaskan akan meneruskan tugas sebagai ketua Sekretariat Aid4Palestine yang ditubuhkan bapanya selaku Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, biarpun dikecam pelbagai pihak.

“Kita kena bezakan antara jawatan dalam kerajaan dan politik, dengan jawatan dalam badan sukarelawan. Saya terima jawatan ini demi membantu rakyat Palestin secara sukarela, bukan kerana bayaran atau imbuhan tertentu.

“Jika ada pihak mempunyai sebarang bukti kukuh menunjukkan saya menyeleweng dana untuk membantu masyarakat Palestin ini, silalah buat laporan rasmi kepada pihak berkuasa supaya mereka boleh menjalankan siasatan terperinci dengan adil,” kata beliau ketika dihubungi hari ini.

Beliau mengulas laporan sebuah portal berita yang mendakwa banyak pihak mempertikaikan tindakan Hadi melantiknya mengetuai Sekretariat Aid4Palestine untuk mengumpulkan dana.

Khamis lalu, Hadi mengumumkan penubuhan Sekretariat Aid4Palestine dengan kerjasama lebih 40 badan bukan kerajaan (NGO) sebagai tindakan proaktif dan segera dalam membantu perjuangan rakyat Palestin yang ditindas rejim Zionis.

Duta Khas Perdana Menteri Ke Timur Tengah itu berkata, sekretariat berkenaan berfungsi sebagai penyelaras jaringan NGO dan masyarakat sivil untuk menggerakkan kempen kesedaran rakyat Malaysia terhadap perjuangan Palestin.

Katanya, ia turut berperanan menyelaras kutipan dana #Aid4Palestine melalui kaedah pendanaan ramai dengan sasaran RM1 juta untuk disalurkan terus ke Palestin.

“Komitmen fasa pertama yang akan disalurkan menjelang 10 Syawal mencecah RM350,000 hasil kutipan terkumpul NGO PASRelief, Yayasan Amal Malaysia, Muslim Care Malaysia Society dan Cakna Palestin Malaysia, manakala kutipan fasa kedua menyasarkan minimum RM650,000 akan dibuka sehingga 30 Syawal,” kata beliau dalam kenyataan. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.