`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Sunday, May 23, 2021

Patuh PKP, prosiding mahkamah ditangguhkan mulai 25 Mei

 

Perkara itu dimaklumkan dalam kenyataan dikeluarkan Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia. (Gambar AP)

PETALING JAYA: Pengendalian kes secara fizikal di mahkamah terbuka di Semenanjung dan Labuan ditangguhkan mulai 25 Mei ini.

Bagaimanapun, pengendalian kes baharu dan permohonan perintah secara fizikal adalah dibenarkan.

Menurut kenyataan dikeluarkan Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia (PKPMP), ketetapan itu selaras arahan Ketua Hakim Negara, pada 20 Mei lalu.

Arahan itu antara lain merangkumi prosiding kes jenayah, sivil, rayuan jenayah dan perkhidmatan kaunter di mahkamah susulan langkah kerajaan mengenakan peraturan tambahan dalam tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP), mulai 25 Mei hingga 7 Jun ini.

Menurut kenyataan itu lagi, semua penetapan kes hukuman dan perintah turut ditangguhkan, manakala tiada seorang pun dibenarkan hadir ke prosiding di mahkamah terbuka bagi kes yang ditetapkan untuk perbicaraan.

“Kecuali tertuduh dan dua orang ahli keluarga, kawan atau kenalan tertuduh, selain seorang Timbalan Pendakwa Raya atau apa-apa bilangan yang dibenarkan oleh mahkamah.

“Seorang peguam bagi pihak tertuduh atau apa-apa bilangan yang dibenarkan oleh mahkamah juga dibenarkan hadir,” kata kenyataan itu.

Bagi pengendalian kes sivil, PKPMP berkata ia perlu dijalankan hanya menerusi teknologi komunikasi jarak jauh, dengan berpandukan arahan Ketua Hakim Negara Bilangan 1 Tahun 2021, bertarikh 7 Januari 2021.

Sehubungan itu, arahan Ketua Hakim Negara Bilangan 5 Tahun 2021 Mengenai Pengendalian Prosiding Kes Sivil Mahkamah Semasa Tempoh PKP pada 17 Februari 2021 adalah tidak terpakai.

“Pengendalian prosiding pendengaran rayuan jenayah melalui teknologi komunikasi jarak jauh di Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi dijalankan menurut arahan Ketua Hakim Negara Bilangan 6, bertarikh 26 Februari 2021.

“Sekiranya perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) dikuatkuasakan, pengendalian kes di mahkamah berkaitan bakal berpandukan kepada arahan yang dikeluarkan PKPMP melalui emel bertarikh 17 Mac 2020, 26 Mac 2020 dan 26 April 2020,” kata kenyataan itu.

Kata kenyataan itu lagi, perkhidmatan kaunter pula tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) Am PKP berkuat kuasa Selasa ini yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN). - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.