TONGOD: Seorang guru sekolah rendah di sini maut sehari sebelum hari kelahirannya yang ke-29 ketika menyertai aktiviti mendaki di Taman Bukit Rekreasi Bukit Air Terjun Tawai, dekat sini samalam.
Menurut jurucakap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Telupid, mangsa Jahir Korotok guru Sekolah Kebangsaan Linayukan, Tongod, yang berasal dari Kampung Muanad 1, Beluran dilaporkan tidak sedarkan diri kira-kira 12 tengah hari semalam selepas tiga jam memulakan aktiviti pendakian bersama sembilan pendaki lain.
“Seramai enam anggota APM bergegas ke lokasi kejadian dan tiba di sana kira-kira jam 3 petang.
“Bagaimanapun, mereka terpaksa meminta bantuan daripada dua lagi anggota tambahan kerana menghadapi kesukaran membawa turun mangsa.
“Dua anggota terbabit tiba di lokasi pada tengah malam memandangkan mereka bergerak sekitar jam 6 petang dan keadaan sudah gelap ketika mendaki,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurut jurucakap itu lagi, cuaca hujan serta suasana gelap dengan laluan menuruni bukit yang licin menyukarkan lagi operasi untuk membawa turun mangsa.
Keadaan itu mendorong APM untuk menghubungi Balai Bomba dan Penyelamat Kinabatangan pada jam 2 pagi bagi meminta bantuan, sebelum sepasukan anggota bomba balai berkenaan tiba di lokasi kejadian kira-kira tiga jam kemudian.
Mangsa berjaya dibawa turun dengan bantuan tambahan daripada Jabatan Perhutanan Sabah kira-kira jam 6 pagi tadi dan kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.