PETALING JAYA: Tempoh pelanggan berada dalam semua premis peruncitan termasuk pusat membeli-belah dihadkan maksimum dua jam sahaja, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Alexander Nanta Linggi.
Syarat itu antara diumumkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dalam kemaskini terbaharu SOP sektor perdagangan pengedaran dalam kenyataan hari ini.
Alexander berkata, langkah mengemas kini serta mengenakan sekatan tambahan susulan daripada pengumuman Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob, yang memperketat pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) 3.0 seiring hasrat kerajaan mengurangkan pergerakan orang ramai kecuali untuk tujuan penting sahaja.
“Antara SOP yang dikemas kini ialah waktu operasi sektor perdagangan pengedaran termasuk semua premis peruncitan, pemborongan, pengedaran dan restoran dihadkan di antara jam 8 pagi hingga 8 malam kecuali bagi kedai farmasi dan penjagaan diri (kecuali yang tersenarai bawah aktiviti tidak dibenarkan seperti spa, pusat penjagaan dan perkhidmatan ‘manicure’ dan ‘pedicure’) dikekalkan antara 8 pagi hingga 10 malam.
“Selain itu SOP tersebut turut mewajibkan had jumlah pelanggan dalam semua premis peruncitan termasuk kompleks membeli-belah dalam satu-satu masa mengikut keluasan premis perniagaan dengan penetapan satu orang bagi setiap 4m per persegi,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata had kapasiti pekerja bagi semua premis peruncitan, pemborongan, pengedaran serta kompleks membeli-belah termasuk pengurusan, operasi dan sokongan ditetapkan sebanyak 60%.
Katanya, premis peruncitan termasuk pusat membeli-belah yang tersenarai bawah Sistem Hotspot Identification for Dynamic Engagement (HIDE) yang masih berisiko tinggi selepas penilaian risiko dibuat oleh Kementerian Kesihatan (KKM) akan ditutup serta-merta selama tiga hari bagi tujuan sanitasi.
“Bagi memastikan usaha itu dilaksanakan dengan efektif, kementerian memohon semua pemain industri bawah sektor perdagangan pengedaran untuk memastikan SOP tersebut dipatuhi sepenuhnya oleh pekerja dan pelanggan masing-masing,” katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, KPDNHEP juga akan menggerakkan 2,262 pegawai penguatkuasa di seluruh negara untuk memastikan pematuhan sepenuhnya SOP yang telah diperketatkan di semua premis perniagaan peruncitan, pemborongan, restoran dan pengedaran.
“Kementerian juga tidak teragak-agak untuk mencadangkan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk menutup serta-merta premis yang didapati tidak mematuhi SOP PKP diperketatkan ini,” katanya. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.