`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Thursday, June 24, 2021

Anak anjing selamatkan 5 sekeluarga daripada maut dalam kebakaran

 

Kebakaran berjaya dipadamkan oleh 12 anggota dengan dua jentera dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Teluk Intan pada 6.30 pagi dan jumlah kerugian dianggarkan RM50,000. (Gambar fail)

IPOH: Kepantasan seekor anak anjing berusia lapan bulan diberi nama “Anandaveli” menggigit pipi, telinga serta menarik rambut dan baju tuannya menyelamatkan lima sekeluarga daripada maut dalam kebakaran di Teluk Intan hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 5 pagi di rumah teres dua tingkat di Eastern Garden itu, seorang daripada mangsa A Vimala, 53, berkata beliau tersedar selepas tindakan anjing betina itu mengejutkannya daripada tidur dan mendapati api sedang marak di bahagian tengah rumah yang juga merupakan tempat sembahyang mereka sekeluarga.

“Pada mulanya saya separuh sedar, saya ingat tindakan ‘Anandaveli’ itu adalah disebabkan kehausan jadi saya menyuruhnya pergi ke dapur. Tetapi disebabkan ‘Anandaveli’ terus menarik kaki saya dengan kuat, saya terjaga dan mula sedar kebakaran sedang berlaku dalam rumah.

“Saya terus menjerit pada anak-anak iaitu Raaghi, 23, Prakash, 22, dan Vimalan, 18, untuk menyelamatkan diri dengan keluar dari rumah,” katanya kepada Bernama.

Mengulas lanjut, beliau berkata selepas berada di luar rumah, didapati bahawa suaminya N Marimuthu Naidu, 58, yang separa lumpuh masih berada di bilik belakang rumah tersebut ketika api sedang marak.

“Saya menyuruh anak bongsu saya Vimalan menyelamatkan ayahnya.

“Vimalan meredah api dan mendukung bapanya keluar dari rumah,” katanya yang kini menumpang berteduh di rumah ibu di Jalan Laksamana.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Bedamar Terence Naidu berkata kebakaran itu berjaya dipadamkan oleh 12 anggota dengan dua jentera dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Teluk Intan pada 6.30 pagi dan jumlah kerugian dianggarkan RM50,000.

“Kami akan memberi bantuan kepada Vimala sekeluarga dalam bentuk wang kecemasan, makanan dan mendapatkan wang bantuan daripada dana bencana pejabat daerah. Kami juga akan cuba bantu untuk dapatkan rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) dalam masa terdekat,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.