`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Saturday, June 12, 2021

Cederakan isteri hamil hingga parah, lelaki direman 6 hari

 

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan Mohd Padzli Mohd Zain berkata siasatan dijalankan di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan. (Gambar Facebook)

JOHOR BAHRU: Seorang lelaki yang disyaki mencederakan isteri sehingga parah seperti yang tular di media sosial baru-baru ini, direman selama enam hari bermula hari ini hingga 17 Jun depan.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan Mohd Padzli Mohd Zain berkata, individu yang berumur 38 tahun dan bekerja sebagai peniaga itu, direman bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.

Beliau berkata siasatan dijalankan di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan dan boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 326A kanun yang sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

“Lelaki terbabit ditahan di tepi jalan kawasan Taman Bukit Angsana, Kuala Lumpur, kira-kira pukul 11 pagi, semalam.

“Tangkapan dibuat ekoran kes yang disiasat Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan, mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan pada 5 Mei lepas,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Pada 17 Mei lepas, media melaporkan seorang penjawat awam berumur 43 tahun yang bertugas di sebuah jabatan kerajaan di negeri Johor, dikejarkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini selepas dipercayai dicederakan suaminya, 4 Mei lepas.

Menurut laporan itu, mangsa yang sedang hamil empat minggu mengalami kecederaan parah pada kepala dan tengkoraknya terpaksa dibuang akibat pendarahan, selain rahang, tulang belakang serta rusuk, retak disyaki dipukul suaminya.

Susulan itu, pada 18 Mei lalu, polis dilaporkan telah mengedarkan gambar dan butiran diri lelaki itu, bagi memudahkan orang ramai memberi maklumat lokasi keberadaan individu terbabit, selepas keluarga mangsa membuat laporan polis berhubung insiden berkenaan. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.