`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Saturday, June 12, 2021

Malaysia tak hantar jemaah haji tahun ini

 

Segala urusan rakyat Malaysia yang telah berada di Arab Saudi dan terpilih melaksanakan haji bagi 1442H akan diuruskan sebaiknya oleh Lembaga Tabung Haji. (Gambar AFP)

PETALING JAYA: Malaysia tidak akan menghantar jemaah haji bagi Musim Haji 1442H.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Hal Ehwal Agama, Zulkifli Mohamad Al Bakri berkata Malaysia akur serta menghormati keputusan kerajaan Arab Saudi yang hanya membenarkan ibadah haji dijalankan bagi warganegara Saudi dan rakyat negara lain yang telah berada di negara itu.

“Hal ini disebabkan situasi semasa pandemik Covid-19 yang membimbangkan di seluruh dunia,” katanya dalam satu kenyataan.

Zulkifli berkata makluman yang sama telah diterima oleh Menteri Luar Hishammuddin Hussein daripada rakan sejawatnya, Putera Faisal Farhan Al Saud.

Katanya, kenyataan rasmi oleh kerajaan Arab Saudi juga telah dikeluarkan tepat jam 6.10 petang tadi.

“Sebentar tadi saya menerima panggilan telefon daripada Dr Abdelfattah Sulaiman Mashat, Timbalan Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi berkenaan keputusan kerajaan Arab Saudi bagi penglibatan jemaah haji daripada negara luar bagi Musim Haji 1442H.

“Saya akan memastikan segala urusan rakyat Malaysia yang telah berada di sana dan terpilih untuk melaksanakan ibadat haji bagi 1442H diuruskan dengan sebaiknya oleh Lembaga Tabung Haji, selaras dengan prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh kerajaan Arab Saudi,” katanya.

Zulkifli juga memohon maaf kepada semua bakal jemaah haji kerana terpaksa menangguhkan ibadah Haji pada
tahun ini.

Katanya, keputusan ini sudah pasti amat berat dan sukar diterima, tetapi yakin ada hikmah di sebalik keputusan tersebut.

“Sesungguhnya hifz al-nafs (memelihara nyawa) adalah salah satu daripada prinsip Maqasid Syariah yang sentiasa dijunjung oleh Kerajaan Malaysia dalam mengambil sebarang keputusan.

“Saya menginsafi situasi yang sedang kita hadapi mutakhir ini sebagai sebuah ujian yang amat berat.

“Saya tetap yakin dengan doa dan munajat kita semua yang sudah pasti pandemik Covid-19 akan berlalu pergi dari kamus kehidupan kita,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.