PETALING JAYA: Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Melaka, Mohd Rafiq Naizamohideen, menegur tindakan beberapa ahli politik yang secara berterusan mendesak kerajaan dan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengadakan persidangan Parlimen.
Mohd Rafiq berkata, desakan itu berpotensi menjadikan keadaan politik negara kembali tidak stabil dan menimbulkan kerisauan dalam masyarakat.
Katanya, tidak seharusnya terdapat pihak tertentu menyimpan agenda sama ada di pihak pembangkang mahu pun kerajaan sendiri, ketika kerajaan berusaha membuat persediaan pembukaan Parlimen.
“Untuk melaksanakan pembukaan Parlimen secara maya atau pun separa maya, beberapa persiapan termasuk ada akta serta peraturan perlu dipinda dan diperhalusi. Semua itu memerlukan masa dan ruang untuk merealisasikan persidangan Parlimen tahun ini.
“Pemimpin politik perlu menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong sebelum ini supaya semua pihak menghentikan pergolakan dan segala usaha yang boleh menggugat kestabilan politik negara,” katanya menurut laporan Harian Metro.
Mohd Rafiq yang juga Naib Presiden Bersatu berkata, sebarang usaha mengumpulkan tanda tangan menerusi akuan bersumpah (SD) bagi menukar kerajaan ketika ini adalah sesuatu yang tidak seharusnya menjadi keutamaan ahli politik.
“Sewajarnya pihak tertentu, terutama parti pembangkang membantu kerajaan dengan menyalurkan cadangan, pendapat serta idea yang berkesan bukan hanya melalui persidangan Parlimen, tetapi juga menerusi perutusan surat rasmi atau panggilan video bersama Perdana Menteri,” katanya. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.