`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Wednesday, June 16, 2021

Klinik swasta diserbu beri Ivermectin belum dilulus untuk cegah Covid-19

 

Kementerian Kesihatan belum meluluskan penggunaan Ivermectin untuk mencegah atau merawat Covid-19. (Gambar AFP)

PETALING JAYA: Seorang doktor mengesahkan klinik swastanya diserbu Kementerian Kesihatan semalam kerana membekalkan ubat antiparasit, Ivermectin kepada orang awam bagi mencegah jangkitan Covid-19.

Pada 16 Mei lalu, Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah dilaporkan berkata, KKM belum meluluskan penggunaan ubat Ivermectin untuk mencegah atau merawat Covid-19 kerana tiada kajian saintifik untuk membuktikan keberkesanannya.

Dr Amir Farid Isahak mengesahkan kliniknya di Kuala Lumpur diserbu pihak berkuasa, namun enggan mengulas lanjut atas nasihat peguamnya.

“Kenyataan itu memang saya buat, tetapi peguam saya sudah nasihatkan supaya tidak buat sebarang kenyataan ketika ini,” katanya kepada FMT.

Dalam kenyataan semalam, beliau menjelaskan kadar vaksinasi terlalu perlahan menyebabkan beliau selaku doktor kesihatan awam membuat keputusan untuk menggunakan ubat berkenaan kerana ia terbukti selamat.

“Saya terima 58 kajian saintifik yang dijalankan setakat ini menunjukkan keberkesanannya mengurangkan jangkitan dan kesan yang teruk akibat Covid-19.

“Oleh itu, saya bertindak menurut apa yang saya percaya, dan berusaha menyelamatkan nyawa,” katanya yang sedar keputusannya itu salah dan akan sampai ke pengetahuan KKM.

Bagaimanapun, beliau berkata menyelamatkan nyawa manusia adalah keutamaan ketika ini berbanding takut kepada tindakan undang-undang.

“Saya sedia untuk berdepan akibatnya,” katanya.

FMT sedang mendapatkan respons Noor Hisham mengenai perkara berkenaan.

Awal Jun lalu, KKM bersama Institut Penyelidikan Klinikal (ICR) memulakan ujian klinikal bagi mengkaji kesan serta keberkesanan penggunaan Ivermectin untuk merawat pesakit Covid-19 yang berisiko tinggi di 12 hospital kerajaan.

Noor Hisham dilaporkan berkata, Ivermectin adalah sejenis ubat antiparasit yang diluluskan Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan Amerika Syarikat (FDA serta digunakan secara meluas bagi merawat beberapa penyakit tropika terabai, termasuk onchocerciasis, strongyloidiasis dan helminthiases, namun belum ada bukti konklusif untuk mengesyorkan penggunaan Ivermectin bagi merawat Covid-19.

Penggunaan “off-label” Ivermectin meraih perhatian masyarakat antarabangsa susulan beberapa kajian kes dan ujian klinikal menunjukkan keputusan yang baik dalam merawat Covid-19.

Bagaimanapun, FDA tidak meluluskan penggunaan Ivermectin bagi merawat dan mencegah Covid-19 pada manusia dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) hanya mengesyorkan penggunaannya dalam ujian klinikal, dengan pesakit perlu dipantau doktor pakar dan penyelidik berpengalaman untuk menjamin keselamatan serta keberkesanannya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.