`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Sunday, June 13, 2021

Polis akan panggil jiran bergaduh kerana pokok bunga, parkir

 

Tangkap layar daripada klip video pergaduhan jiran lelaki dan wanita di sebuah kawasan perumahan di Seksyen 24, Shah Alam yang tular sejak semalam.

PETALING JAYA: Polis menerima dua laporan berkaitan pergaduhan sekumpulan lelaki dan wanita yang tinggal berjiran di Seksyen 24, Shah Alam, dengan rakaman pertengkaran mulut mereka tular di media sosial semalam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Baharudin Mat Taib berkata, siasatan mendapati pergaduhan pada 3 petang Jumaat lalu di taman perumahan Seksyen 24 itu berpunca daripada isu tanaman dan masalah parkir membabitkan dua pihak yang merupakan jiran.

Walaupun kedua-dua pihak menarik balik laporan polis mereka, katanya, siasatan tetap diteruskan secara adil dan saksi, dengan semua individu terbabit akan dipanggil untuk dirakam percakapan.

“Kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam kadar segera bagi mendapatkan keputusan,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Terdahulu, tular di media sosial mengenai pertengkaran mulut beberapa lelaki dan wanita di sebuah kawasan perumahan di Seksyen 24 sejak semalam.

Video selama empat minit itu menunjukkan berlaku insiden tolak-menolak dan membaling objek seperti pasu bunga yang mengundang pelbagai reaksi warganet.

Baharudin berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 427, 269 dan 148 Kanun Keseksaan, serta Peraturan 1 (1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021, iaitu kesalahan melanggar SOP perintah kawalan pergerakan (PKP) yang boleh membawa hukuman penjara dan denda.

Beliau mengingatkan semua pihak supaya tidak mengambil kesempatan terhadap isu itu demi perpaduan sejagat. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.