`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 

10 APRIL 2024

Friday, June 18, 2021

Sidang Parlimen: Wakil PAS takut hilang jawatan, ganjaran?

 

“Integriti adalah memberi kebenaran kepada diri saya sendiri,

Kejujuran adalah menyampaikan kebenaran itu kepada orang lain.”– Spencer Johnson, penulis AS

Pada tanggal 26 Januari 1976, Hussein Onn memanggil sidang khas atau sidang tergempar Parlimen – 11 hari selepas beliau dilantik sebagai Perdana Menteri ke-3 berikutan kematian Abdul Razak Hussein.

Selepas beliau menang undi keyakinan dalam sidang tergempar Parlimen yang bersidang cuma untuk satu hari itu, barulah Dewan Rakyat bersidang seperti biasa bermula pada 30 March 1976.

Agenda pertama pada sidang permulaan pada hari tersebut ialah upacara mengangkat sumpah Najib Razak sebagai Ahli Parlimen Pekan (P85) baharu.

Ini berlaku lebih 45 tahun yang lalu, pada waktu Ahli Parlimen kerajaan berani hadir di dewan Parlimen. Mereka tidak sangsi dan tidak berasa takut seperti sekarang.

Hari ini, bukan sahaja dikatakan Ahli Parlimen kerajaan takut untuk hadir.

Sekaligus Menteri yang menjaga Parlimen pun kelu, dilihat lebih berdolak-dalih daripada memberi kenyataan jelas dan terbuka menyokong pendirian Yang di-Pertuan Agong mahukan supaya Parlimen bersidang secepat mungkin.

Menteri yang bertugas menjaga hal ehwal Parlimen seorang peguam.

Tetapi jiwa beliau seolah-olah amat gemuruh, dan tingkah laku pula amatlah aneh sekali terutama sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

Pertuturannya jadi berbelit, keberanian tampaknya tenggelam, yang timbul ketakutan dan percakapan yang menyakitkan hati rakyat dan juga Ahli Parlimen lain.

Bagaimana ini boleh terjadi?

Adalah tidak wajar Ahli Parlimen kerajaan, termasuk Menteri, bertindak sedemikian, sedangkan mereka ini semua telah bersumpah untuk menjalankan tugas mereka dengan adil dan saksama, serta mengikut lunas-lunas Perlembagaan dan undang-undang sedia ada.

Kesetiaan kepada seorang Perdana Menteri yang tidak dipilih Parlimen, sewajibnya tidak boleh melangkau kesetiaan kepada rakyat, Perlembagaan, serta undang-undang.

Wakil rakyat PAS

Adapun wakil rakyat daripada PAS, terutamanya yang baru mengecap kenikmatan jawatan Menteri, Timbalan Menteri, dan Menteri Besar dalam kerajaan PN ini dikatakan banyak lagaknya, bersifat angkuh, dan tidak mempedulikan tanggungjawab terhadap keseluruhan rakyat.

Ternyata kefahaman mereka tentang hak-hak asasi rakyat dalam demokrasi berparlimen, yang turut membolehkan mereka diundi sebagai wakil rakyat begitu cetek. Perangai politik ‘kekampungan’ mereka nyata dan terbawa-bawa ke kota raya tanpa apa-apa anjakan dalam kesedaran moral yang patut dimiliki berdasarkan jawatan yang mereka sandang.

Tidak dapat dinafikan mereka ini gagal dalam peralihan daripada ‘politik kampung’ kepada politik bertaraf nasional, jauh sekali daripada memiliki ciri-ciri kepimpinan untuk berjaya di peringkat antarabangsa.

Benar, mereka dipilih oleh golongan pengundi yang menyokong parti mereka. Tetapi tanggungjawab sebagai Menteri atau Timbalan Menteri bukan hanya terhad kepada pengundi di kampung mereka sahaja.

Mereka bertanggungjawab kepada semua rakyat dan telah bersumpah untuk berlaku adil dan saksama. Tetapi ini gagal dilakukan dan disinilah kepincangan ketua-ketua PAS begitu terserlah.

Jadi apabila Agong menggesa Parlimen di buka segera dan Majlis Raja-Raja mahukan benda sama untuk Dewan Undangan Negeri, kenapa masih ada helah dan rintangan?

Retak menanti belah

Apakah Menteri yang menjaga Parlimen dan Speaker pada 70-an dahulu jauh lebih berani, mempunyai integriti yang tinggi, dan kejujuran yang jauh lebih terpelihara?

Oh, ya lupa. Waktu dulu, tidak ada virus Covid-19, tidak ada tunjuk ajar dari Pertubuhan Kesihatan Sedunia yang mengenakan pelbagai peraturan.

Ini zaman pakai pelitup muka, periksa suhu badan, dan jaga jarak. Jangan sampai berlaku kluster yang baharu dari Parlimen. Inilah hujah cetek mereka.

Walaupun data dari Kementerian Kesihatan sendiri menyatakan lebih dari 98% kes-kes Covid-19 sembuh dengan pantas, kita belum juga begitu yakin dan menidakkan kebenaran.

Tidak dinafikan, kita semua harus berhati-hati dan mengikuti setiap SOP, TANPA mengabaikan tanggungjawab kita, apatah lagi jika memegang jawatan kanan dalam kerajaan.

Tetapi tidak PAS, yang mempunyai 18 Ahli Parlimen. Parti itu sarat dengan pemimpin seperti Menteri Perladangan dan Komoditi yang janggal percakapannya, diikuti Menteri Besar Kedah dengan pelbagai kesilapan berunsur komedi, Menteri Besar Kelantan yang dibuai kemewahan dan Duta Besar Timur Tengah yang, sehingga sekarang dilihat belum menjalankan sebarang tugas dengan hasil nyata.

“Itulah dia sebahagian dari ‘biawak hidup’ yang dipikul Perdana Menteri,” kata teman dari Pasir Mas.

Mungkin ramai yang tidak menjangka sewaktu Perikatan Nasional ‘meterai’ Langkah Sheraton enam belas bulan yang lalu, ‘kluster’ PAS akan mengecewakan kerajaan dan bakal menjerat PN apabila Parlimen berfungsi kelak.

Mereka ini tidak lagi diyakini. Keyakinan rakyat terhadap mereka sudah lama hilang. Sekiranya Parlimen dibenarkan bersidang, kerajaan PN akan tumbang, dan mereka semua akan hilang jawatan. Itulah ketakutan yang sekarang menghantui mereka.

Integriti dan kejujuran yang meleset sampai hilang pedoman mereka ini, anehnya, berpunca dari mainan politik sendiri. Mereka ini tidak lagi layak untuk diundi oleh rakyat. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.