`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Saturday, December 4, 2021

Israel: Tak sayang tapi tak juga selalu benci

 

Gerun bila saya baca laporan media 30 November memetik Menteri Belia dan Sukan, Ahmad Faizal Azumu, berkata “kalau benar ada atlet Israel jejak kaki di sini saya orang pertama menentang”.

Maklumlah beliau orang Perak yang terkenal dengan pahlawan Melayu Dato’ Sagor dan Datuk Maharaja Lela. Gambar yang mengiringi laporan itu juga garang dan bengis – menunjukkan Peja (nama glamor Faizal) melepaskan tumbukan ke arah “boxing pads” yang dipegang peninju kebangsaan. Mujur tiada atlet Israel berada di situ. Maaf, saya berseloroh.

Namun pada 30 November juga ada laporan memberitahu Kejohanan Skuasy Sedunia lelaki berpasukan yang dijadual bermula 7 Disember ini di Kuala Lumpur telah dibatalkan berikutan kebimbangan terhadap varian terbaharu Covid-19 “Omicron” dan isu visa untuk atlet Israel.

Sebelum itu kontroversi tercetus apabila Malaysia diberitakan tidak mengeluarkan permohonan visa atlet Israel sekaligus mengharamkan mereka menyertai kejohanan berkenaan.

Seperti maklum Malaysia tidak mengiktiraf Israel dan tidak punyai hubungan diplomatik dengan Tel Aviv. Malaysia pro-Palestin. Dalam erti kata lain, kerajaan Malaysia anti-Israel. Majoriti rakyat Malaysia terutama orang Melayu beragama Islam menyifatkan Israel anti-Islam dan harus ditentang. Apatah lagi mengambil kira kekejaman tentera Israel ke atas rakyat Palestin termasuk Palestin Kristian walaupun majoriti rakyat Palestin beragama Islam.

Dengan pembatalan kejohanan antarabangsa itu, kontroversi dilihat selesai. Tidak lagi timbul soal Persatuan Squash Israel mahu mengheret Persekutuan Skuasy Sedunia ke mahkamah timbang tara sukan kerana menyifatkan keputusan Malaysia menolak visa untuk atletnya sebagai diskriminasi.

Ada yang melihat pembatalan kejohanan itu sebagai kemenangan Malaysia yang tegas dan tidak berganjak. Tetap tidak mengizinkan atlet Israel masuk. Ada pula yang menyifatkan itu kemenangan Israel kerana apabila atlet Israel tidak dizin mengambil bahagian, kejohanan itu sendiri terpaksa dibatalkan. Terpulang interpretasi masing-masing.

Mengenai kata-kata berani Menteri Belia dan Sukan, mulanya saya juga tertanya-tanya adakah kenyataan beliau dikeluarkan sebelum pembatalan kejohanan diumumkan atau sebaliknya? Jika sebelum atau Faizal belum dimaklumkan kejohanan sudah dibatalkan maka kenyataannya “boleh diterima”. Setuju atau tidak soal lain.

Tetapi jika kenyataan beraninya dibuat selepas keputusan batal kejohanan dibuat atau beliau sudah dimaklumkan akan langkah itu, kenyataannya sesuatu yang pelik. Kerana sememangnya atlet Israel tidak akan datang. Lalu mengancam akan menentang kehadiran mereka tidak perlu dikeluarkan. Kan mereka tak datang nak tentang apa?

Apa pun siapa cakap apa terdahulu elok diketepikan. Bagi saya beri perhatian terhadap satu lagi aspek kenyataan Faizal. Menurut beliau apabila Persekutuan Skuash Sedunia meletakkan Malaysia sebagai tuan rumah kejohanan maka “mereka juga patut maklum kita tidak akan benarkan atlet Israel ambil bahagian”. Bagi saya, itu bermakna persekutuan berkenaan (malah semua pihak) harus peka dan mesti tahu dasar Malaysia terhadap Israel.

Tetapi walaupun Malaysia ada dasar anti-Israel sejak berzaman lamanya, kerajaan Malaysia pimpinan Dr Mahathir Mohamad selaku Perdana Menteri ke-4 pada 1997 mengizinkan pasukan kriket Israel menyertai satu kejohanan antarabangsa di Kuala Lumpur.

Dua puluh dua tahun kemudian pentadbiran pimpinan Mahathir yang ketika itu Perdana Menteri ke-7 melarang pula kemasukkan perenang Israel ke Malaysia untuk mengambil bahagian dalam kejohanan renang para dunia di Kuching pada Julai 2019. Akibatnya Jawatankuasa Para Olimpik Antarabangsa melucutkan hak Malaysia menganjur kejohanan renang berkenaan.

Ketika itu Mahathir ditanya wartawan mengapa pada 1997 atlet Israel dibenarkan masuk ke Malaysia tetapi tidak boleh pada 2019? Jawab Mahathir pada 1997 beliau mengizin atlet Israel masuk untuk menunjukkan bahawa orang Islam bukan pengganas. “Kita orang biasa, kita boleh bincang dengan orang dan kita berkelakuan baik”.

Bagi saya, maksud Mahathir ialah beliau mahu rakyat Israel melihat betapa bertamadunnya rakyat Malaysia khususnya orang Islam Malaysia supaya orang Israel jadikan pengajaran dan mengambil iktibar.

Tetapi apabila Mahathir melarang perenang Israel masuk Malaysia pada 2019 bolehlah dirumus pengajaran untuk Israel yang beliau harapkan tidak membawa apa-apa hasil. Tidak ada kesan. Tingkah laku dan tindakan Israel terhadap Palestin terutamanya tidak berubah walaupun mereka sudah lihat sendiri betapa baiknya orang Islam Malaysia.

Pada 2015, Malaysia yang Perdana Menterinya ketika itu Najib Razak tidak mengizinkan peserta acara luncur angin Israel masuk Malaysia untuk menyertai satu kejohanan di Langkawi. Tidak memeranjatkan kerana pada 2009 semasa Najib memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri telah memberi ucapan pada sidang khas Parlimen untuk mengutuk kekejaman Israel di Gaza dengan menyifatkan Israel negara pengganas.

Tetapi pentadbiran Perdana Menteri Najib pada 2011 membenarkan kelab bola sepak Inggeris, Chelsea, yang turut dianggotai warga Israel, Yossi Benayoun, masuk dan bermain perlawanan persahabatan menentang kesebelasan Malaysia.

Yang jelas Malaysia memberi visa kepada seluruh pasukan Chelsea tanpa mengenepikan Benayoun. Ketika beraksi pemain Israel itu diejek penonton setiap kali beliau mendapat bola. Chelsea kemudian membuat pengaduan yang mendorong Persatuan Bola Sepak Malaysia memohon maaf kepada Benayoun serta Chelsea.

Itu hal sukan. Bagaimana pula luar arena sukan?

Pada Februari 2018, satu delegasi pegawai kanan Israel menghadiri satu persidangan anjuran PBB di Kuala Lumpur selama satu minggu. Walaupun Menteri Luar Negeri ketika itu, Anifah Aman, berkata Malaysia terikat dengan peraturan PBB, pengkritik menyifatkan langkah kerajaan Najib membenarkan delegasi Israel hadir di Kuala Lumpur bersikap “hypocrisy”, dan merujuk kata-kata keras Najib yang dilemparkan ke atas Israel pada 2009.

Apa yang sebenarnya yang ingin saya sampai di artikel ini? Ringkasnya kadang-kadang Malaysia larang rakyat Israel masuk ke negara ini. Kadang-kadang mereka dibenarkan masuk. Bolehkah dilihat sebagai sifat adakala benci adakala tidak berapa benci?

Berbalik kepada saranan Menteri Belia dan Sukan supaya semua pihak mesti tahu apa dasar Malaysia terhadap Israel. Bagi saya pening juga mereka membuat ketetapan berdasarkan apa yang dihuraikan di atas. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.