`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!






 

Friday, December 31, 2021

Wibawa politik Ismail Sabri kuyup dek banjir?

 

Banjir yang melanda negara minggu lalu bukan sahaja mewariskan beribu tan sampah sarap yang mampu menularkan pelbagai penyakit malah ia boleh menjerumuskan negara ke dalam krisis politik yang melumpuhkan kepercayaan rakyat terhadap pemerintah.

Natijah awal musibah berkenaan ialah agak ramainya bilangan kematian yang berlaku meskipun ancaman banjir ini diramalkan mungkin berulang dan berlarutan sehingga Ahad depan.

Umum tahu bahawa kerajaan hari ini menghadapi masalah defisit kepercayaan yang agak membimbangkan berikutan perkembangan politik yang tidak stabil. Kerajaan sudah bertukar ganti tiga kali sejak PRU pada Mei 2018.

Dililit ancaman pandemik Covid-19 yang menjejaskan pertumbuhan ekonomi negara sejak dua tahun lalu, adalah jelas rakyat mendambakan sebuah kerajaan berwawasan, tangkas, dan jujur untuk memimpin Malaysia keluar dari kemelut ini.

Bagaimanapun pendekatan dan caragaya kerajaan menguruskan musibah banjir kali ini agak lesu meskipun banjir boleh dikatakan berlaku hampir saban musim tengkujuh.

Kerajaan mempunyai pelbagai agensi dibiayai wang rakyat untuk membuat culaan keadaan cuaca namun maklumat yang dikumpulkan tidak dimanfaatkan dengan bijak.

Yang dikesalkan, baru empat bulan berkhidmat, ramai ahli Kabinet sudah mula letih dan perlukan rehat dan mahu bercuti. Semua permohonan diluluskan oleh Perdana Menteri.

Perubahan cuaca tidak pernah cuti. Amaran cuaca buruk tahun ini telah dimaklumkan kepada semua peringkat jentera pentadbiran negara. Namun apabila hujan lebat bermula ada Menteri terus bercuti.

Mungkin mereka benar-benar lelah setelah berjuang berhabis-habisan kerana mahu menukar atau mempertahankan kerajaan ikut selera mereka sejak dua tahun lepas.

Apabila banjir berlaku kali ini pentadbiran kerajaan seolah-olah bungkam.

Sayugia diingat Mei lalu, ahli Majlis Tertinggi Umno, Razlan Rafii, menyenaraikan tujuh menteri yang tidak berfungsi. Enam daripada mereka mewakili Bersatu.

Salah seorang daripada mereka ialah Latiff Ahmad yang memegang portfolio Menteri Pembangunan Negara dan Luar Bandar yang dikatakan gagal menggalakkan rakyat luar bandar menjayakan kempen vaksinasi negara.

Kini beliau Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang turut bertanggungjawab ke atas Agensi Pengurusan Bencana Malaysia (NADMA).

Kali ini apabila Nadma dipertikaikan lembab menggerakkan usaha membantu rakyat terkesan banjir beliau dengan yakin mengatakan:

“Saya boleh letak jawatan. NADMA boleh dibubar. Tetapi apakah solusinya?”.

Beliau menegaskan jika NADMA hendak menguruskan bencana di semua peringkat ia memerlukan kos yang tinggi.

Rakyat tersinggung kerana Menteri berkenaan seolah-olah mengatakan jika NADMA membela nasib mereka daripada bencana banjir ia akan merugikan negara.

Tiada tindakan diambil oleh Perdana Menteri Ismail Sabri ke atas Menteri Tugas-tugas Khas di Jabatan Perdana Menteri itu.

Rakyat memerhati wibawa Ismail. Apakah beliau tidak ingat sentimen yang cuba dibawa oleh Razlan terhadap pemimpin-pemimpin Bersatu?

Razlan juga membariskan beberapa Menteri Bersatu yang tidak berfungsi – Zuraida Kamaruddin, Azmin Ali, Rina Harun, Hamzah Zainudin, dan Radzi Jidin.

Apakah kebarangkaliannya, Bersatu kini tidak akan mengambil kesempatan menuding jari betapa Menteri-menteri Umno termasuk Naib Presiden Ismail Sabri Yaakob juga seakan tidak berfungsi dalam isu mentadbir negara ketika banjir?

Tidak sampai sebulan lalu Ismail menganugerahkan ahli-ahli Kabinetnya pencapaian 90% daripada sasaran prestasi memimpin kementerian masing-masing.

Namun kini beliau terpaksa mengarahkan Menteri-menteri membatalkan cuti mereka walaupun beliau sendiri meluluskan cuti mereka.

Mengapakah Ismail kelihatan gugup menguruskan musibah banjir? Beliau bingkas menuding jari pada projek Lebuh Raya Lembah Kelang Timur (EKVE) sebagai salah satu punca banjir.

Beliau berkata, hasil pemantauan mendapati pembinaan lebuh raya itu menyebabkan longkang terkambus dan mengganggu sistem saliran air.

“Banjir ini bukan saja disebabkan oleh air hujan, tapi (tinjauan) di Taman Sri Nanding tadi (mendapati) kerana projek EKVE.

“Longkang tertutup dan sebagainya, menyebabkan banjir lebih cepat berlaku,” katanya pada sidang media selepas menghadiri program gotong-royong pembersihan kawasan terjejas banjir di Taman Sri Nanding dan Kampung Dusun Tua.

Hulu Langat antara kawasan terjejas teruk akibat banjir yang melanda negara, minggu lalu.

Sejak pelantikan beliau sebagai Perdana Menteri, Ismail cuba menonjolkan imej seorang pemimpin yang tenang dan berwawasan,

Namun dalam kes banjir kali ini, beliau nampak gopoh dan cuba membuat kesimpulan tanpa siasatan penuh dan terperinci.

Walhal beliau sendiri mengumumkan penubuhan pasukan petugas khas untuk mencari punca banjir besar berlaku dan mengkaji bagaimana menguruskan musibah jika berulang.

Apakah Ismail bimbang impian Keluarga Malaysianya akan hanyut bersama banjir yang melanda negara minggu lalu?

Bolehkah kegopohannya itu dibaca sebagai satu reaksi kepada kecaman beberapa pihak kononnya pentadbirannya lembab memberi bantuan pada mangsa banjir?

Berikutan itu, ADUN Hulu Kelang, Saari Sungib, mencadangkan supaya rakyat mengemukakan saman terhadap Ismail kerana kelewatan bantuan itu seolah mempunyai niat jahat.

Banyak iktibar yang wajib dipelajari oleh Naib Presiden Umno, Ismail Sabri Yaakob, yang diberi kepercayaan mengisi kerusi panas Perdana Menteri, daripada musibah banjir.

Meskipun beliau memulakan tugasnya dengan tenang, bersangka baik, berhati-hati seikhlas mungkin kira-kira tidak sampai empat bulan lalu, banjir nampaknya menuntut ketegasan dan keberanian luar biasa daripadanya.

Sayangnya rakyat tidak melihat Ismail dan Kabinetnya menyahut tuntutan itu. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.