`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Thursday, December 30, 2021

Hikayat Raja Balak

 

Kamu ditelefoni oleh seorang sarjana dari Rusia. Dia memberitahu kamu yang terdapat sebuah manuskrip aneh di arkib Dutch East India Company (Vereenigde Oostindische Compagnie—VOC), mungkin datang sekitar abad ke-17 atau 18 masehi. Ia seperti koleksi surat-surat Palembang, Gowa, Buton, Bone, Tallo, Banten, dan Cirebon, yang terpendam di sana dan kurang diketahui orang. Dia tidak pasti, apakah manuskrip itu diperolehi daripada ‘antiquarian’ NP Likhachev, yang membelinya untuk the Paleographical Museum in Petrograd (St Petersburg) pada 1910; atau mungkin juga daripada orang lain.

“Manuskrip macam apa?” Soal kamu kepadanya.

“Tulisan jawinya sukar dibaca, malah tergolong jelek. Mungkin dicatat seseorang yang tidak begitu mahir, orang kampung,” katanya kepada kamu.

“Apa judulnya?”

“Bisa jadi Hikayat Raja Belek, atau Raja Belok.”

Kamu mengatakan dengan penuh keterujaan, “Kirimkan menerusi ‘drive’ segera.”

Malam itu kamu menekuni manuskrip yang dikatakan jelek tulisannya, dari St Petersburg. Ternyata judulnya luar biasa sekali. Bukan Hikayat Raja Belek, atau Hikayat Raja Belok.

Kamu bagai tidak percaya tatkala menuturkan tulisan tersebut: ‘Hikayat Raja Balak’.

Selama seminggu kamu bangun seawal pukul 3 pagi untuk meneliti Hikayat Raja Balak, apakah inti kandungannya. Apakah pula kisahnya? Adakah ada persamaan misalnya dengan Hikayat Raja Babi?

Hikayat Raja Balak mengisahkan seorang raja di negeri kayangan yang berkahwin paksa dengan seorang isteri gundik dan begitu mengharapkan seorang putera. Ternyata selepas beberapa orang anak perempuan yang dilahirkan, baginda akhirnya beroleh anak lelaki. Seorang putera yang elok sekali. Akan tetapi, dalam masa yang sama, baginda raja di negeri kayangan itu juga mengahwini seorang puteri dari negeri langit kelapan. Tentu sang puteri itu yang mengimpikan menjadi permaisuri kelak berasa khuatir akan persaingan dengan isteri gundiknya.

Sang puteri dari negeri langit kelapan membuat tindakan nekad meracun putera yang masih bayi. Si gundik beroleh kemurungan oleh kematian putera tunggalnya. Dia membawa diri ke negeri atas angin. Si isteri gundik tahu siapa yang empunya angkara. Beliau telah berikrar dan bersumpah kepada Allah Taala bahawa jika si puteri melahirkan anak lelaki kelak, putera itu tidak akan serupa manusia.

Sang raja di negeri kayangan pula amat gundah gulana memikirkan pemerintahannya yang tiada beroleh putera. Sesebuah negeri mestilah diperintah oleh seorang lelaki, dan bukannya perempuan. Itu menurut hematnya. Raja itu percaya seorang ratu tidak dapat mengendalikan negara dengan baik kalau datang bulannya.

Tahun demi tahun berlalu, puteri dari negeri langit kelapan tidak beroleh anak. Seakan-akan sumpahan si isteri gundik amat berkesan sekali. Selepas berubat dengan seorang bidan tua, akhirnya si puteri pun hamil. Siang malam puteri dari negeri langit kelapan berdoa agar baginda beroleh seorang putera, yang nanti dapat mewarisi takhta suaminya. Puteri mengimpikan menjadi permaisuri di negeri kayangan kelak.

Bulan demi bulan, selepas sembilan bulan lamanya, si puteri negeri langit kelapan pun melahirkan seorang putera.

Hanya puteranya itu tidak serupa manusia. Putera itu persis sepotong kayu balak. Tersangatlah terkejut dan duka baginda raja negeri kayangan melihatkan anaknya itu kelihatan seperti sepotong kayu balak. Mukanya menggerutu bagaikan kulit kayu cengal. Kulit itu bagai berlapis-lapis dan keras berkerak seakan balak Karak yang belum dimurnikan. Rambutnya ibarat dedaun yang agak merimbun.

Kamu bagaikan tidak percaya membaca hikayat tersebut. Daripada mulut kamu terpacul kata, “Tak sangka di alam Melayu ada kisah seumpama Groot dari siri Marvel, sejenis ‘extraterrestrial tree monster'”.

Baginda raja tersangatlah malu yang anaknya itu persis sepotong balak. Akan tetapi, ada keanehan yang lain, permaisuri adalah satu-satunya orang yang tidak nampak anaknya itu serupakan balak. Di mata permaisuri, yakni hanya pada sepasang matanya sahaja, putera raja itu kelihatan sungguh rupawan. Makanya, baginda permaisuri tidak mengerti mengapa orang di keliling merasai jijik dengan putera tersebut. Baginda malah tidak cakna (ya kalimat cakna!) yang anaknya itu ada iras-iras kayu balak. Ini kerana mata permaisuri itu sudah dibutakan menjadi mata duitan.

Oleh baginda raja yang tidak tahan kerana dicemuh dalam diam oleh orang betapa anaknya serupa kayu balak, baginda membuat keputusan untuk menghantar puteranya ke dalam sebuah hutan yang begitu banyak berlaku pembalakan; “Asal balak kepada balak. Jika putera balak maka baliklah kepada pembalakan”.

Masa berlalu begitu cepat, baginda raja belayar ke negeri atas angin dan menemui isteri gundiknya. Baginda raja memerikan kisah menyayat hati bahawa anak lelakinya yang patut mewarisi takhta kelihatan seperti sepotong kayu balak.

Tersenyum gundik tersenyum, maka isteri gundik pun menjelaskan kepada suaminya, “Kekanda, adapun putera kekanda itu serupa balak kerana makan sumpahan kita juga. Adapun putera kita dibunuh, maka tidak kita izinkan siapa yang punya celaka itu duduk diam. Biar bontotnya bisa-bisa bagai digonyoh tempurung berbulu.”

Baginda raja berkerut sedemikian berkerut, “Akan tetapi dinda mengapakah wajahnya serupa balak, sampai demikian dinda laknatkan dia?”

Maka si isteri gundik pun memecahkan rahsia. Bahawa beliau itu diculik dan dipaksa mengahwini raja meskipun tidak mahu. Yang menculik dan memaksanya tidak lain dan tidak bukan memanda menteri juga. Bahawa si gundik dijadikan tebusan untuk meraih perhatian dan ampu-ampuan sang baginda raja. Adapun si gundik itu berasal dari sebuah kampung yang habis ditarah pohonnya untuk dijadikan balak, diniagakan kepada keparat penjajah dari negeri Barat. Begitu banyak pohon dicabut dan ditumbangkan, tatkala datang musim tengkujuh, pohon yang asalnya mencengkam bumi di lereng bukit dan gunung itu kini menjadi timbunan balak yang ditolak air dan melanda segala kampung dalam laluannya.

Matilah seisi kampung termasuk ibu dan bapanya. Terbenam dalam lumpur dan balak. Kecuali masih hidup, si gundik yang masih remaja ketika itu comot disalut selut dan lumpur; terduduk di atas atap rumahnya yang sudah dilanda air kuning nista.

Adapun sekonyong-konyong datang pasukan hulubalang dari istana raja untuk menyelamatkan kayu-kayan yang sudah dihanyutkan air hujan dan bah. Ini kerana kayu-kayan itulah hasil mahsul di negeri tersebut. Mereka menemukan si gundik yang menangis tersedu-sedan ketakutan. Maka si gundik itu dibersihkan dan memanda menteri mendapat satu akal jahat iaitu menghadiahkan budak itu kepada raja.

Terkejutlah baginda raja demikian terkejut. Si gundik menyatakan dirinya tidak pernah memaafkan baginda raja kerana menyentuhnya. Bahawa putera tunggalnya yang kini diusir ke sebuah perkampungan di tepian hutan itu akan kekal menjadi raja balak sampai bila-bila.

“Pembunuhan dan pembalakan berpisah tiada.”

Raja pun bersugullah dan menangis rawan menyatakan dirinya kini tiada pewaris, “Tidakkah ada kaedah beta membalikkan sumpahan dinda itu?”

“Tiada jua, melainkan tuanku menanam semula pohon-pohon yang ditumbangkan, menunggukan seratus tahun supaya ia menjadi pokok agam kembali, yang dapat membekalkan udara bersih ke negeri kayangan.”

Kamu amat kagum dengan manuskrip Hikayat Raja Balak ini. Kamu yakin pengarangnya bukan doyok istana kerana bahan dakwat manuskrip ini terdiri dari bahan yang mudah diperolehi di sekitar kampung (justeru bukan taman larangan diraja). Kamu percaya dakwatnya datang dari jelaga, getah pokok, kulit buah-buahan, bunga-bungaan, dan garam. Tulisan jawi itu agak compang-camping lantaran pena yang digunakan itu dipercayai diperbuat daripada duri kabung. Tera air yang menjadi tanda kepada kertas untuk menunjukkan syarikat yang mengeluarkannya, dan dapat menentukan pula tarikh manuskrip ditulis, sukar ditentukan.

Kamu mengesyaki ia ditulis di atas kertas yang diperolehi dari London.

Ini kerana jenis kertas adalah laid Eropah berwarna putih kekuningan ternampak kesan lubang dan titisan air. Kertas itu berukuran 24.6 X 16.9 cm. Terdapat tera air berbentuk gambar enam bulan sabit selaras dengan saiznya mengecil dan, ada kalimat yang melongokan: TheCrown.

Teks ditulis dalam 31 baris kemas namun tidak menarik. Dengan jumlah 60 halaman. Teks dimulai pada halaman 13 verso dan tamat pada 58 verso. Ia dicatat dengan menggunakan tinta berwarna hitam dan pada beberapa halaman awal ada yang berwarna merah.

Terdapat beberapa catatan tepi pada hampir setiap halaman. Catatan tersebut tambahan kata atau kalimat pada saat penyalinan. Kemungkinan penyalin kurang rapi dalam menyalin. Barangkali juga didukung dengan banyak contengan pada teks yang menandakan kesalahan penulisan. Selain itu pada halaman 30 rekto nampak tulisan terbalik dan kosong pada 28 verso. Kamu merasai ia terjadi kerana kesalahan pada saat kerja restorasi. Beberapa coretan dengan tinta berwarna biru juga nampak pada halaman 21, 18, dan 37.

Terdapat keterangan tajuk pada bahagian muqaddimah yang menyatakan, kamu baca tertera begini, “…dan ku namai akan dia ‘Raja Balak’ ertinya musibah tingkah laku segala yang tiada melihat penderitaan kami lantas menyebabkan celaka yang penuh nestapa. Pembalak adil pembalak disanggah. Pembalak zalim pembalak disumpah…” - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.