`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Thursday, December 30, 2021

‘Rakyat derita, mana rasa bersalah’, Putrajaya digesa minta maaf kepada mangsa banjir

 

Rakyat mahu melihat tindakan segera untuk mengatasi bencana banjir, tetapi itu tidak berlaku, menurut penganalisis.

PETALING JAYA: Penganalisis menggesa kerajaan segera meminta maaf kepada rakyat yang tidak berpuas hati dengan prestasinya menangani bencana banjir baru-baru ini kerana semakin ramai percaya ia tidak ambil berat nasib orang kebanyakan.

“Ini yang sedang dijaja di media sosial dan ramai yang nampaknya makin percaya,” kata Ahmad Fauzi Abdul Hamid dari Universiti Sains Malaysia.

Antara perkara yang mendorong rakyat beranggapan kerajaan tidak mengambil berat adalah sikap dan kelakuan anggotanya sendiri, meskipun 47 orang maut dan ribuan terjejas teruk.

“Rakyat nak tengok tindakan segera tapi itu tak berlaku dan tak nampak pun. Yang ada adalah percakaran sesama sendiri, contohnya Umno dan Bersatu yang sama-sama memerintah.

“Parlimen lagilah. Bila nak bahas isu banjir, dia (kerajaan) tak nak. Latiff Ahmad yang NADMA itu pun tak ada menunjukkan rasa bersalah. Kita tak ada pun dengar mana-mana orang nak letak jawatan.”

Beliau berkata, sikap dan kelakuan seperti itu seolah-olah pemerintah “tidak ada perasaan”.

“Ada siapa-siapa berasa bersalah? Sepatutnya kerajaan buat satu kenyataan maaf secara rasmi atau kalau kerajaan tak nak mengaku bersalah, Parlimen pun boleh keluarkan kenyataan maaf. Tapi lebih utama kerajaan sebagai pemegang kuasa eksekutif yang lakukan – bagi menunjukkan rasa kebertanggungjawaban.”

“Benda seperti ini menawan hati rakyat tapi (itu pun) mereka tak boleh buat…apa perasan kita sebagai rakyat? Mereka ini nak membela siapa?” katanya.

Fauzi mengingatkan negara “sudah pun kelam-kabut” walaupun bencana yang melanda tempoh hari tidak seteruk di negara jiran.

“Kerajaan kita sangat tidak cekap,” katanya.

Beliau menarik perhatian kepada kenyataan Menteri Alam Sekitar dan Air Tuan Ibrahim Tuan Man sebelum ini yang dilaporkan berkata, Malaysia bukan tergolong dalam kategori negara yang terdedah kepada impak perubahan iklim yang ketara.

“Itu terbukti silap. Tuan Ibrahim boleh sahaja tarik balik kenyataan itu dan minta maaf,” katanya.

Fauzi menambah Tuan Ibrahim perlu berada di barisan depan berkenaan isu alam sekitar.

“Ini patut jadi isu besar kementerian dia, tak kira beliau kena Covid-19 atau tidak. Kalau pun dia bukan pakar, pembantu dia banyak yang pakar air. Takkan tak boleh bagi laporan pada dia?”

Berkenaan persepsi rakyat terhadap kerajaan ketika ini, Fauzi menyarankan supaya Pejabat Perdana Menteri berhubung secara langsung dengan mangsa bencana.

“Utus surat peribadi bertandatangan Perdana Menteri dengan janji akan memperbaiki penyampaian khidmat pascabencana kepada semua keluarga hingga kehidupan mereka pulih. Sertakan nombor untuk mangsa berhubung terus dengan pegawai yang dipertanggungjawabkan.

“Tidak susah rasanya untuk mendapatkan alamat dan nama ketua keluarga yang terlibat daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).” - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.