`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 

10 APRIL 2024

Thursday, December 30, 2021

Lebih 1,000 tan sisa pepejal pasca banjir di N9

 

Perabot, pakaian dan peralatan elektrik merupakan sisa pepejal pascabanjir yang diuruskan di empat daerah di Negeri Sembilan.

SEREMBAN: Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Negeri Sembilan menguruskan 1,151 tan sisa pepejal pascabanjir di empat daerah di negeri ini bermula 20 Dis hingga kelmarin.

Pengarahnya Mohd Zahir Shari berkata, daripada jumlah itu, 427 tan diuruskan di Seremban, Port Dickson (371 tan), Jelebu (309 tan) dan Rembau (44 tan) membabitkan perabot, pakaian dan peralatan elektrik.

“Kerja pembersihan dijangka mengambil masa agak lama terutama di kawasan pedalaman di Jelebu yang terjejas teruk. Bagi kawasan perkhidmatan SWM Environment Sdn Bhd, kerja kutipan sisa banjir di daerah terjejas telah selesai dan tumpuan diberikan untuk pembersihan longkang yang dipenuhi lumpur dan tanah.

“Sisa berkenaan akan dihantar ke tapak pelupusan sampah domestik manakala sisa elektronik atau berjadual diuruskan oleh syarikat Kualiti Alam Sdn Bhd atau dikitar semula oleh SWCorp. Ini kerana barangan elektronik perlu dilupuskan melalui sistem e-SWIS,” katanya kepada Bernama di sini semalam.

Beliau berkata, kerja pembersihan pascabanjir berkenaan membabitkan 38 lori “Roll On Roll Off” (RORO), 14 lori terbuka, 14 penyembur air dan 17 jentera pengaut serta penglibatan 204 petugas dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan negeri dan persekutuan termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT).

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri S Veerapan berkata, proses menguruskan sisa banjir di Negeri Sembilan terutama di Jelebu dianggarkan dapat diselesaikan dalam tempoh dua hingga tiga minggu.

Beliau berkata, Jabatan Kesihatan negeri juga melakukan sanitasi dan pengabutan di kawasan terjejas banjir bagi membendung kes leptospirosis dan denggi.

“Setakat ini terdapat satu kes disyaki bawaan air dikesan namun ia masih dalam siasatan pihak kami,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.