`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Thursday, December 9, 2021

Jom himpun, kata kerajaan; jangan himpun, kata kerajaan

 

Diambil kira daripada tarikh 1 September 2021, hari ini 9 Disember 2021 ialah hari ke-100 kerajaan Ismail Sabri Yaakob yang menggelarnya pentadbiran Keluarga Malaysia. Tarikh 1 September dilihat permulaan kerajaan pimpinan Ismail kerana mesyuarat pertama Jemaah Menterinya diadakan pada tarikh itu.

Maka Ismail mengumumkan kad laporan kerajaannya yang menghuraikan “pencapaian” selama 100 hari memerintah negara. Majlis itu dinamakan “Aspirasi Keluarga Malaysia”.

Bukan kad laporan itu yang mahu saya perkatakan di sini. Pencapaian mahupun kegagalan Keluarga Malaysia mungkin saya ulas pada lain masa. Yang saya ingin kupas ialah program aspirasi itu sendiri.

Kerajaan melalui Kementerian Komunikasi dan Multimedia menghantar teks pesanan ringkas SMS kepada rakyat jelata bertujuan menghebahkan acara itu. Rasanya anda seperti saya ada menerima SMS yang dimaksudkan.

SMS awal memberitahu kita si rakyat biasa bahawa “Pencapaian 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia akan diumumkan oleh YAB Perdana Menteri dalam program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia pada 9 Disember 2021”.

Kemudian disusuli satu lagi pesanan KKMM juga melalui SMS yang berbunyi: “Jom ramai-ramai memeriahkan Program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia di KLCC 9 hingga 12 Disember 2021 dengan pelbagai aktiviti menarik”.

Itu jemputan terbuka buat rakyat datang berpesta beramai ramai menikmati pelbagai sajian dan hidangan yang disediakan kerajaan. Hebahan turut dibuat menerusi media yang menyiarkan laporan terperinci mengenai acara program berkenaan.

Lalu kita diberitahu “jangan lepaskan peluang” mengunjungi lebih 30 pameran pelbagai kementerian dan agensi serta karnival kerjaya.

Bukan itu sahaja. Kita juga dimaklumkan sepanjang program yang berlangsung selama empat hari dari 9 pagi hingga 10 malam ada persembahan kebudayaan dan kesenian, sukan rakyat, pameran, dan jualan usahawan.

Yang dinanti-nanti, menurut penganjur ialah Malam Aspirasi Seni, merupakan “elemen berkonsepkan hiburan bagi memeriahkan lagi acara”. Ia menampilkan persembahan artis terkenal tanah air yang dikatakan “sudah tentu menarik lebih ramai pengunjung seisi keluarga untuk berhibur bersama”. Konsert lah tu.

Ada lagi? Mestilah ada. Kejohanan e-sukan akan dijalankan. Tumpuan juga pasti kepada kaunter untuk orang ramai menikmati diskaun pembayaran saman polis dan JPJ. Diadakan juga cabutan bertuah yang memberi pengunjung peluang memenangi hadiah menarik termasuk barangan elektrik, gajet, TV, laptop, tablet, telefon pintar, basikal, motosikal, dan Proton X50. Hebat!

Semua itu akan menyaksikan rakyat datang berduyung duyung terutama pada hujung minggu demi “memeriahkan” sambutan Aspirasi Keluarga Malaysia . Atau sekadar berhibur dan menang hadiah.

Dalam pada itu muncul Kementerian Kesihatan mengingatkan kita wabak Covid-19 belum berakhir. Potong stim. Menerusi satu tweet KKM memberitahu kita supaya elakkan 3S – Sempit, Sesak, Sembang. Yakni elak tempat sempit, elak tempat sesak, elak sembang dekat-dekat.

“Pematuhan SOP tanggungjawab bersama dan ia amat penting untuk kita membendung penularan wabak Covid-19”.

Nasihat KKM itu kerap dikeluarkan sebelum ini. Tetapi kali ini ia keluar berikutan munculnya varian Omicron. Nasihat yang mesti dituruti walaupun sehingga kini belum dipastikan sejauh mana “ganasnya” Omicron.

Bagi saya, pesanan Kementerian Komunikasi dan Multimedia mengajak orang ramai datang ke Pusat Konvensyen Kuala Lumpur tidak senada dan sehaluan dengan pesanan Kementerian Kesihatan.

Di upacara Aspirasi Keluarga Malaysia itu, ketiga-tiga elemen yang Kementerian Kesihatan kata mesti dihindari wujud. Di upacara itu ada “Sesak”, ada “Sempit”, dan ada “Sembang”. Percanggahan amat ketara antara pesanan dua kementerian dalam satu kerajaan yang sama.

Dengan ‘hidangan’ yang disajikan seperti yang disenaraikan di atas, rasanya orang ramai akan datang “beramai-ramai” seperti yang diinginkan kerajaan. Ada yang akan membawa anak-anak kerana Ketua Pengarah Keselamatan Negara di Majlis Keselamatan Negara, Rodzi Md Saad, dipetik media berkata “kanak kanak bawah 12 tahun dibenarkan masuk dengan syarat ibu bapa atau penjaga lengkap vaksinasi”.

Kata Rodzi, SOP ketat akan dikenakan kerana “kita ingin pastikan program ini tidak datangkan risiko jangkitan Covid-19″. Lantas beliau menghuraikan SOP ketat yang dimaksudkan termasuk mengehadkan bilangan pengunjung kepada 10,350 orang sahaja pada satu-satu masa berbanding kapasiti sebenar KLCC iaitu melebihi 20,000 orang. Baguslah. Itu jumlah dan pengawasan ke atas pengunjung. Bagaimana pula peserta dan pengendali upacara sebesar itu?

Saya kira perbincangan sudah diadakan dengan Kementerian Kesihatan. Jika ada, nampaknya perbincangan tidak menghalang Kementerian Kesihatan mengeluarkan peringatan mengenai 3S.

Apa pun diucap selamat berjaya. Semoga semua berjalan dengan selamat.

Namun ingin dinyatakan, bagi saya memadai jika Perdana Menteri menghebah dan menghebohkan pencapaian beliau serta kerajaannya melalui televisyen, radio, media konvensional dan dalam talian, juga pelbagai platform media sosial.

Tidak perlu diadakan karnival pada Khamis, Jumaat, Sabtu, dan Ahad bagi menyusuli pengumuman terutama pada ketika Covid-19 masih mengancam walaupun jumlah kes menurun. Hakikatnya keadaan tidak stabil. Covid-19 masih ada.

Tidak perlu karnival yang memakan belanja besar untuk diadakan. Apatah lagi keadaan kewangan kerajaan sekarang bukanlah sesuatu yang boleh dibanggakan. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.