`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 

10 APRIL 2024

Monday, December 6, 2021

Langkah kerajaan tambah bank bergerak dipuji pakar ekonomi

 

Sebanyak 20 bank bergerak tambahan dijangka beroperasi tahun depan. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Ahli ekonomi mengalu-alukan langkah kerajaan menambah 20 bank bergerak yang akan meluaskan liputan perkhidmatan kewangan ke 250 kawasan pedalaman dan daerah kecil, terutama di Sabah dan Sarawak.

Berjoyai Bardai di Universiti Tun Abdul Razak berkata bank bergerak amat penting untuk merapatkan jurang dan memastikan masyarakat pedalaman mempunyai akses kepada perkhidmatan perbankan.

“Ini akan membantu menggalakkan keterangkuman kewangan dalam kalangan penduduk di kawasan pedalaman, kerana mereka tak perlu lagi berjalan jauh-jauh untuk simpan duit, hantar wang, atau buka akaun,” katanya kepada FMT.

Katanya, tumpuan kerajaan untuk menggalakkan perbankan digital dapat dilihat dalam beberapa inisiatif dalam belanjawan 2022, seperti menggalakkan ketersambungan internet.

Felo Akademi Sains Malaysia, Madeline Berma, berkata usaha kerajaan mengiatkan lagi bank bergerak merupakan langkah yang bagus. Beliau turut menyarankan kerajaan tumpu kepada membangunkan prasarana digital.

Ini kerana bank bergerak masih kemudahan berbentuk fizikal, dan peralihan sepenuhnya ke perbankan digital akan memakan masa.

“Dunia sedang menuju ke arah perbankan digital tetapi ini akan mengambil masa yang lama, terutamanya di Malaysia Timur yang amat luas,” katanya kepada FMT.

Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz ketika membentangkan Bajet 2022 mengumumkan sebanyak 20 bank bergerak tambahan dijangka akan mula beroperasi tahun depan.

Inisiatif bank bergerak ini mula dicadangkan pada Jun, dengan peruntukan sebanyak RM18 juta untuk bank-bank tempatan menyediakan 30 bank bergerak serata negara menerusi pakej bantuan Pemulih. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.