`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Monday, December 6, 2021

Pampasan terlalu rendah, mana nak cari rumah di KL, keluh penduduk Kampung Baru

 

Penduduk Kampung Baru mendakwa pampasan diberikan tidak mengikut nilaian semasa dan menyukarkan mereka mencari rumah ganti yang sesuai.

KUALA LUMPUR: Penduduk sekitar Kampung Sungai Baru, Kampung Baru di sini sekali lagi menyuarakan bantahan dan rasa tidak puas hati terhadap projek pembangunan semula kawasan itu yang dianggap berat sebelah termasuk tawaran pampasan didakwa tidak masuk akal dan terlalu rendah.

Penduduk, Mohd Saiful Azhar mendakwa mereka yang tinggal di Flat Sungai Baru hanya ditawarkan antara RM200,000 sehingga RM250,000 sebagai balasan.

“Jika dengan nilai pampasan sedemikian, mana nak cari rumah baharu di kawasan Kuala Lumpur ini? Rumah kami memang lama tapi nilai kawasan perlu diambil kira.

“Kerisauan kami terutama penduduk rumah teres adalah berapa nilai pampasan yang bakal kami terima? Ada kemungkinan pampasan kami dinilai dengan rendah juga.

“Walhal berdasarkan penilai hartanah swasta yang menilai tanah dan rumah saya yang sudah diubah suai menjadi tiga unit rumah itu dianggarkan sekitar RM3.1 juta,” katanya yang tinggal di rumah teres di kawasan yang bakal dibangunkan itu.

Sementara itu Pengerusi Persatuan Komuniti Sungai Baru, Syed Salehuddin Syed Abdullah berkata, terdapat kira-kira 30% penduduk yang masih belum menurunkan tandatangan dan menolak tawaran yang dirasakan tidak setimpal dengan nilai semasa hartanah.

“Pemaju telah datang lima tahun yang lepas dan tawarkan penduduk berpindah ke tempat lain dengan menyediakan rumah tetapi perjanjian mereka berat sebelah. Kalau pemaju bankrap kami tidak boleh berbuat apa-apa jadi kami takut.

“Kami masih belum tandatangan dan mereka (pemaju) menggunakan Seksyen 8 Akta Pengambilan Tanah 1960 untuk buat pengambilan, sehari selepas Seksyen 4 dikeluarkan,” katanya kepada FMT.

Beliau turut meminta Ahli Parlimen Titiwangsa, Rina Mohd Harun mengadakan pertemuan dengan Menteri Wilayah Persekutuan Shahidan Kassim bagi membantu mereka dalam hal itu.

Perancangan pembangunan di Kampung Sungai Baru melibatkan penduduk yang menetap di dua jenis kediaman iaitu Flat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan rumah di tanah persendirian termasuk rumah teres.

Kumpulan itu turun mengadakan bantahan pada Sabtu lalu apabila tidak berpuas hati dengan nilai pampasan yang diberikan dan notis warta kerajaan yang diterima dalam tempoh yang singkat ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) dikuat kuasa sebelum ini.

Sementara itu Johari Zakaria yang juga pemilik rumah teres berkata, pihaknya difahamkan nilai pampasan yang diterima bagi kategori rumah teres hanya kira-kira RM400 sekaki persegi sedangkan penilaian oleh jurunilai dilantik sebelum ini menganggarkan nilai semasa adalah RM1,500 sekaki persegi untuk tanah sahaja, tidak termasuk bangunan.

“Masa bicara pertama ada pihak Perbadanan Pembangunan Kampung Baru (PKN) mengatakan transaksi jual beli dibuat untuk rumah yang telah dijual sebelum ini adalah RM450 sekaki persegi tapi bila minta buktikan transaksi, ia tidak diberikan.

“Jadi jumlah RM1,500 sekaki persegi yang kami tuntut itu munasabah dengan nilai semasa ketika ini,” katanya.

Difahamkan, kira-kira 70% pemilik di kawasan berkenaan bersetuju dengan pembangunan semula kawasan itu dan telah menurunkan tanda tangan manakala selebihnya membantah. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.