`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Sunday, February 13, 2022

Soalan ujian lisan SPM ‘Apa perkahwinan idaman anda?’ tak sesuai untuk Tingkatan 5, kata bekas Timbalan Menteri

 

Seorang bekas Timbalan Menteri Pendidikan berkata KPM pada masa depan perlu lebih teliti memberi soalan dan berusaha menyediakan soalan lebih memartabatkan pelajar. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Bekas Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching berkata ujian lisan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bahasa Melayu bertajuk ‘Apa perkahwinan idaman anda?’ yang menjadi pertikaian warganet sejak beberapa hari lalu, tidak sesuai diberikan kepada pelajar berusia 17 tahun.

Teo Nie Ching.

Ahli Parlimen Kulai itu berkata, pelajar Tingkatan 5 tidak seharusnya dipaksa berfikir mengenai perkahwinan, kerana banyak lagi isu utama yang harus dititikberatkan dalam kehidupan mereka.

“Soalan seperti ini langsung tidak sesuai dan tidak harus diberikan kepada pelajar Tingkatan 5 yang umur mereka baru 17 tahun.

“Mereka tidak sepatutnya fikir pun pasal perkahwinan kerana ada banyak lagi isu yang penting dalam kehidupan mereka seperti pencapaian akademik mereka, cukupkah usaha mereka di sekolah selama ini dan mampukah keluarga mereka membiayai yuran ke universiti idaman mereka,” katanya dalam kenyataan.

Dalam pada itu, Teo meminta Kementerian Pendidikan (KPM) mengesahkan sama ada soalan itu ditanya dalam ujian lisan SPM, dan sekiranya benar, kementerian harus memohon maaf kepada semua pelajar Tingkatan 5 dan ibu bapa mereka.

Katanya, pada masa depan KPM perlu lebih teliti memberi soalan dan berusaha menyediakan soalan lebih memartabatkan pelajar.

“Saya menyeru Kementerian Pendidikan untuk mengesahkan bahawa soalan ini benar-benar ditanya dalam ujian lisan SPM, dan jika benar, mohon maaf kepada semua pelajar Tingkatan 5 yang terpaksa menjawab soalan itu dan ibu bapa mereka.

Tangkap layar antara komen ibu bapa di media sosial mengenai soalan ujian lisan bahasa Melayu diterima anak mereka dan ia mengundang pelbagai reaksi berbeza daripada warganet.

“Pada masa sama, KPM perlu berikhtiar untuk memberi soalan yang lebih memartabatkan pelajar dalam masa hadapan,” katanya.

Sejak beberapa hari lalu, ibu bapa kepada pelajar Tingkatan 5 berkongsi di media sosial mengenai soalan ujian lisan bahasa Melayu yang diterima anak mereka, dan ia mengundang pelbagai reaksi berbeza daripada warganet yang sebahagian besar mengecam soalan demikian.

FMT difahamkan soalan itu berkait dengan silibus adat dan kebudayaan di dalam buku teks bahasa Melayu Tingkatan 4 muka surat 112 hingga 113 yang menyentuh persembahan yang terdapat dalam majlis dan semangat kerjasama jiran tetangga.

FMT sudah menghubungi KPM untuk penjelasan lanjut. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.