`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Sunday, May 1, 2022

2 tahun tertangguh, aktiviti baraan kembali meriahkan sambutan Aidilfitri

 

Baraan disertai penduduk kampung daripada pelbagai peringkat umur. Biasanya anak muda akan memeriahkan aktiviti baraan dengan membawa motosikal beramai-ramai.

PETALING JAYA: Buat pertama kali dalam tempoh dua tahun sambutan Aidilfitri menjadi suram susulan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) kerana penularan wabak Covid-19, sekaligus membataskan pergerakan serta apa jua acara yang biasa diadakan sebelum ini.

Tiada apa yang dilakukan ketika itu namun tahun ini, semuanya seakan-akan kembali kepada sedia kala.

Menjadi amalan bagi umat Islam sepanjang Aidilfitri, tradisi baraan atau mengunjungi rumah saudara, kenalan, dan jiran sekampung wajib dilakukan.

Baraan adalah istilah Jawa yang membawa maksud berjalan-jalan atau ziarah beramai-ramai dalam kumpulan sepanjang Aidilfitri yang menjadi tradisi masyarakat itu.

Selepas negara memasuki fasa peralihan endemik bermula 1 April lalu, baraan tahun ini kembali meriah walaupun dilakukan dengan SOP yang ketat.

Ketua Baraan Kampung Seri Aman, Kamsani Kamarudin mengetuai ziarah beramai-ramai di kampungnya sempena Aidilfitri.

Ketua Baraan Kampung Seri Aman, Puchong, Kamsani Kamarudin berkata, sambutan Aidilfitri tidak lengkap jika aktiviti yang telah menjadi tradisi di kampung ini tidak dibuat bagi memeriahkan lagi suasana hari raya.

Setakat ini, banyak permintaan diterima daripada semua lapisan daripada kanak-kanak hingga dewasa yang mahukan baraan dibuat pada tahun ini.

“Saya rasa meriah seperti dulu walaupun selepas dua tahun baraan tidak dapat dibuat akibat PKP.

“Kebanyakan mereka sudah membuat persiapan terutama geng bermotosikal. Ada juga permintaan daripada penduduk taman perumahan yang berdekatan dengan kampung ini untuk menyertai baraan tahun ini,” katanya kepada FMT.

Kebiasaannya kumpulan baraan akan mengunjungi kira-kira 50 hingga 55 buah rumah di Kampung Seri Aman, bermula selepas solat sunat Aidilfitri dan biasanya hingga 6 petang.

Baraan biasanya dilakukan dalam tempoh sehari bagi memberi peluang penduduk berhari raya bersama keluarga masing-masing pada hari berikutnya.

Tuan rumah biasanya akan menyedihkan pelbagai juadah kepada peserta baraan.

Aktiviti baraan bermula sejak 1970-an dan ketika itu, penduduk menunggang basikal atau berjalan kaki berbanding hari ini dengan menggunakan motosikal dan kereta.

Kamsani adalah generasi kedua yang mengambil tanggungjawab untuk meneruskan tradisi baraan.

Jelasnya, disebabkan negara masih berhadapan Covid-19, SOP yang ketat mungkin akan dikenakan.

“Mungkin kita akan buat SOP sendiri ke atas setiap peserta seperti wajib memakai pelitup muka mengikut peraturan ditetapkan oleh kerajaan.

“Selain itu, kehadiran peserta baraan mungkin akan dikurangkan atau dipecahkan kepada dua kumpulan. Maknanya setiap satu rumah kita masuk tidak terlalu ramai,” katanya.

Biasanya selepas selesai baraan, mereka akan menyudahkannya dengan ziarah kubur.

Beliau berkata, baraan penting dilakukan disebabkan keadaan zaman moden hari ini dengan kebanyakan anak muda lebih gemar bermain peranti.

“Kita nak kenalkan budaya ziarah-menziarahi ini kepada anak muda agar tradisi ini diteruskan setiap tahun,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.