`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Tuesday, May 17, 2022

3 PPS dibuka di 2 negeri tempatkan 138 mangsa banjir

 

Sebuah rumah di kawasan Batu 6 Jalan Jelebu Pantai, Negeri Sembilan, ditenggelami banjir akibat hujan lebat petang semalam. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Tiga pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di dua negeri, menempatkan 138 mangsa banjir daripada 48 keluarga setakat pagi tadi.

Di Kedah, seramai 28 mangsa banjir daripada enam keluarga di Baling ditempatkan di PPS SK Tawar setakat 9 pagi ini.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Baling Rasidah Kassim berkata, semua yang ditempatkan adalah penduduk kampung dari Mukim Tawar.

Pagi ini cuaca cerah di Baling. Air dah surut, mangsa akan ke rumah masing-masing untuk membersihkan rumah,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Baling akan terus membuat pemantauan dari semasa ke semasa serta sentiasa berada dalam keadaan siap siaga.

DI Negeri Sembilan, data terkini menerusi aplikasi InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melaporkan dua PPS dibuka, iaitu di SK Undang Johol dan Dewan Desa Dangi, Johol, Kuala Pilah melibatkan 110 individu daripada 42 keluarga setakat 8 pagi tadi.

Sementara itu, Pengarah APM Negeri Sembilan Mohd Syukri Md Nor berkata, kejadian tanah runtuh berlaku di N14 Jalan Inas-Kampung Batu berikutan hujan lebat di kawasan berbukit di lokasi tersebut yang menghalang sepenuhnya lalu lintas.

“Susulan itu pengguna jalan raya dinasihatkan menggunakan jalan alternatif iaitu Laluan FT051 Jalan Kuala Pilah-Seremban atau Laluan FT009 Kuala Pilah-Tampin,” katanya di sini.

Dalam pada itu, beliau berkata, Pusat Darul Widad di Port Dickson turut dinaiki air namun tiada pemindahan dibuat setakat ini.

Hujan lebat berterusan sejak tengah hari semalam menyebabkan beberapa lokasi di tiga negeri dinaiki air, iaitu Kuala Kubu Bharu, Selangor; Nilai, Seremban dan Kuala Pilah, Negeri Sembilan; serta Baling, Kedah. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.