PETALING JAYA: Bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad mengancam akan menyaman Ahmad Zahid Hamidi susulan kenyataan presiden Umno itu pada 2017 yang mempersoalkan asal-usulnya.
“Sebelum ini, saya tidak gemar menggunakan mahkamah, walaupun ramai yang memfitnah saya kerana saya sedar di dalam kempen politik, akan ada yang bertindak di luar batas dan had.
“Tetapi, kali ini saya merasa perlu bertindak kerana sikap pembohong Zahid ini amat memualkan dan tidak boleh dibiar begitu saja. Ia bukan saja merosakkan reputasi saya, tetapi penipuannya kepada penyokong Umno dan orang Melayu lain demi untuk dia kekal berkuasa amat merbahaya,” katanya menerusi blog serambichedet.com.
Pada Julai 2017, Zahid berkata, beliau dimaklumkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara bahawa nama asal Mahathir ialah “Mahathir a/l Iskandar Kutty”.
Walaupun Zahid tidak menamakan Mahathir secara khusus, beliau ada menyebut “bekas perdana menteri serta 22 tahun beliau berkuasa”.
Beliau turut mendakwa Mahathir mempergunakan orang Melayu dan Umno selama ini atas nama memperjuangkan agenda Melayu.
Mahathir kemudian mengakui keturunan Indianya, tetapi berkata: “Saya orang Melayu dan saya bangga dengannya.”
“Saya seorang Melayu bukan hanya di atas kertas. Saya juga orang Melayu dalam sentimen dan semangat,” katanya.
Kini, Mahathir mencabar Zahid mengemukakan bukti terhadap dakwaannya bahawa nama asalnya ialah Mahathir a/l Iskandar Kutty.
“Saya cabar Zahid untuk tunjuk bukti tentang identiti saya yang pertikai diri status bangsa saya sebagai orang Melayu.
“Jika dia tidak meminta maaf dan menarik balik fitnah itu, saya akan ambil tindakan mahkamah.
“Mengikut takrifan (Perkara 160) Perlembagaan, saya orang Melayu dan perjuangan saya adalah untuk pertahan kepentingan bangsa saya.”
Beliau berkata, ibu bapanya dilahirkan di Tanah Melayu sebelum negara mencapai kemerdekaan dan mereka semua beragama Islam.
“Sejak kecil, pertuturan keluarga saya di rumah adalah Bahasa Melayu serta adat yang kami amal adalah adat Melayu,” katanya.
Ahli Parlimen Langkawi itu turut menyifatkan Zahid sebagai “pembohong tegar” dan saman yang difailkan terhadapnya bertujuan untuk menutup penipuannya. -FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.