`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Sunday, May 8, 2022

9 PATI diberkas di Teluk Ramunia

 

Sembilan pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia ditahan selepas cuba menyusup masuk ke negara ini melalui jalan laut tidak diwartakan, malam tadi. (Gambar Facebook TLDM)

PETALING JAYA: Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berjaya mematahkan cubaan sembilan pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia menyusup masuk ke negara ini melalui perairan selatan Johor selepas dikesan menerusi Sistem Pengawasan Maritim Laut Malaysia (SWASLA), malam tadi.

TLDM berkata lapan lelaki dan seorang wanita berusia lingkungan 20-an hingga 40-an itu ditahan atas kesalahan menceroboh negara melalui jalan laut yang tidak diwartakan pada jam 9.45 malam.

Penahanan itu dibuat selepas SWASLA mengesan pergerakan sebuah bot berkelajuan tinggi dalam keadaan mencurigakan dari Pulau Batam, Indonesia dan disyaki menuju ke perairan Teluk Ramunia, Johor.

“Area Control Centre (ACC) Johor menyalurkan maklumat pencerobohan kepada aset TLDM Kapal Diraja (KD) Ganyang di lapangan untuk tindakan lanjut. KD Ganyang seterusnya mengkoordinasikan aset TLDM FCB 1123 dan bot pemintas RHIB LEPAU bagi memintas bot berkenaan.

“Menyedari kehadiran bot TLDM, bot membawa PATI berkenaan cuba lolos, namun kecekapan dan tindak balas pantas FCB 1123 dan RHIB LEPAU berjaya menggagalkan cubaan itu dan menahan semua warga Indonesia berkenaan di 1.5 batu nautika selatan Teluk Ramunia.

“PATI yang ditahan kemudian dibawa ke Jeti Pos Maritim Pengerang dan diserahkan kepada Tim Op MERPATI untuk soal siasat dan ujian saringan Covid-19. Mereka seterusnya akan diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan, menurut Berita Harian.

Menurut TLDM, kerjasama dan tindakan bersepadu serta penyaluran maklumat yang pantas oleh semua agensi terbabit memastikan setiap cubaan menceroboh akan dipatahkan, baik di laut mahupun di darat.

“Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak akan berkompromi terhadap sebarang ancaman melibatkan keselamatan dan kedaulatan negara. TLDM bersama agensi penguat kuasa maritim yang lain sentiasa komited dan siap siaga melindungi perairan negara pada setiap masa,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.