`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Tuesday, May 3, 2022

Alang baiknya kalau duit raya Sing Dolar?

 

Minggu lalu nilai ringgit susut berbanding, antaranya, mata wang Amerika, British, dan tentunya Singapura.

Nilai ringgit begitu rendah berbanding dolar Singapura, menyaksikan warga republik itu berduyun-duyun membeli RM. Bagai beli barangan lelong. Sehingga diberitakan Isnin 25 April, pengurup wang di Johor Bahru kehabisan ringgit. Semuanya “disapu bersih” warga Singapura.

Sehingga artikel ini ditulis, nilai ringgit terus menyusut. Mata wang negara lemah. Namun, kata Bank Negara pada 29 April lalu, kejatuhan ringgit masih boleh diurus.

Nilai RM lemah berbanding SGD bermakna warga Singapura akan terus membanjiri negara, khususnya JB untuk membeli-belah dan sebagainya. Ertinya, mereka akan berbelanja dan aliran wang akan masuk ke Malaysia. Bukankah ini baik untuk ekonomi?

Kata pakar ekonomi, nilai RM rendah juga membuka peluang negara bersaing dalam pasaran eksport kerana produk Malaysia menjadi lebih murah berbanding negara yang mata wangnya “kuat”.

Jadi, nilai RM merosot sesuatu yang bagus. Begitu?

Tetapi, jika anda ada anak yang belajar di luar negara, anda terpaksa berbelanja lebih untuk menampung pembelajaran mereka. Nilai RM kecil bermakna jumlah besar diperlukan.

Kata mereka yang tahu, apabila ringgit lemah, harga barang naik, termasuk harga makanan, baik untuk manusia mahupun haiwan. Ringkasnya semua naik, kita semua terasa perit.

Ada pakar ekonomi berpendapat jatuhnya nilai mata wang memberi lebih banyak kesan buruk daripada kesan baik. Lantas memang tidak ada negara yang mahu nilai mata wangnya rendah. Seperti dikatakan tadi, kejatuhan nilai mata wang mendatangkan lebih banyak keburukan berbanding kebaikan dan kesannya dirasai rakyat, terutamanya golongan berpendapatan rendah. Biasalah, bila ada apa jua krisis, orang susah bertambah susah.

Menurut laporan FMT, tempoh hari kekuatan SGD tarik warga Malaysia untuk kerja di Singapura. Ini sudah lama berlaku kerana sudah lama RM lemah berbanding SGD.

Kejatuhan terbaharu nilai RM, menurut laporan FMT, menjejaskan perniagaan di JB kerana rakyat tempatan tidak berminat kerja di Johor. Tidak boleh salahkan mereka kerana gaji di Singapura jauh lebih tinggi apabila ditukar kepada ringgit.

Maka mengeluhlah orang kita. Persatuan Hotel Malaysia cawangan Johor memberitahu hotel-hotel berdepan masalah tenaga pekerja apabila ramai berpindah ke Singapura. Kata Setiausahanya, Yvonne Loh, “masalah ini dialami oleh semua sektor”.

Naik turun mata wang (tentunya termasuk ringgit) bergantung kepada kekuatan ekonomi dan kestabilan politik negara yang diwakilinya. Lagi kukuh ekonomi, lagi tinggi nilai mata wangnya. Itulah hakikatnya meskipun diakui naik turun mata wang juga dipengaruhi faktor luaran dan keadaan semasa dunia.

Hakikatnya juga, ekonomi Singapura kukuh dan kuat. Ekonomi Malaysia pula tidak menentu dan tidak stabil (saya guna bahasa lembut untuk menggambarkan keadaan). Keadaan politik kita berceramuk sejak Langkah Sheraton.

Semasa saya bekerja di JB pada awal 1980-an dan kerap “turun” ke Singapura, ringgit masih “steady”. Banyak juga barang yang boleh dibeli di Singapura tanpa rasa “perit”. Shopping di Singapura menjadi kebiasaan untuk ramai orang, bukan sekadar yang “berada”.

Di sini, saya petik penulisan bekas wartawan terkenal Singapura, Ismail Kassim, dalam bukunya berjudul “A Reporter’s Memoir: No Hard Feelings” terbitan 2008.

Pada Bab 12, Ismail mengimbau waktu beliau seorang “undergraduate” pada 1968. Ketika itu, katanya, Singapura dan Malaysia berada di tahap sama dalam pelbagai bidang. Mutu graduan dan universiti agak setanding, manakala nilai RM dan SGD hampir sama.

Namun, kata Ismail, “dalam masa lebih dari tiga dekad, Singapura berubah menjadi negara kelas pertama, makmur dari segi ekonomi dengan institusi yang kuat, dan penduduk berkemahiran tinggi, berpendidikan, dan berdaya tahan”.

Sebaliknya, Ismail berkata, “kecuali kejayaan mencapai pertumbuhan ekonomi kukuh pada tahun-tahun sebelum krisis mata wang Asia (1997), Malaysia merosot dalam hampir segala bidang”.

Sebelum kita tuduh Ismail “mendabik dada, mengagung-agungkan negara sendiri dan memperlekehkan Malaysia”, renungilah apa yang Allahyarham katakan itu. Bagi saya tidak dapat dinafikan kerana itu realiti.

Pada muka surat 224 bukunya, Ismail menceritakan pertemuan dengan seorang kawan lama pada 1997 yang bertanyakan prospek pelaburan di Malaysia. Respons Ismail: “Malaysia makin kecundang kerana sentimen agama dan politik melampau dan saya masih tidak nampak penghujungnya”.

Allahyarham seorang yang cukup arif dan berpengalaman mengenai Malaysia. Ismail pernah membuat liputan politik Malaysia secara menyeluruh selaku “correspondent” akhbar New Nation pada 1974 hingga 1982 dan akhbar Straits Times dari 1983 hingga 1995. Saya rasa Allahyarham tahu apa yang beliau cakapkan.

Apa pun sekarang ekonomi Malaysia tidak menentu, RM lemah, politik bercelaru.

Berlatarbelakangkan itulah kita menyambut Aidilfitri tahun ini.

Selamat Hari Raya. Maaf Zahir Batin. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.