`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Tuesday, May 3, 2022

(VIDEO) Rakyat Malaysia di penempatan paling hujung di utara dunia

 

Khairul Fuad Junaidi merantau dari Sabah ke kepulauan berdekatan Kutub Utara untuk mencari rezeki, pada usia semuda 21 tahun. (Gambar Khairul Fuad Junaidi)

PETALING JAYA: Kata orang, carilah rezeki hingga ke hujung dunia. Itulah yang dilakukan seorang anak muda dari Malaysia, yang kini bermastautin di penempatan ‘terakhir di dunia’ sebelum berjumpa Kutub Utara.

Khairul Fuad Junaidi, 26, dari Ranau, Sabah, memberitahu FMT, beliau sudah hampir lima tahun menetap di Longyearbyen, terletak di kepulauan Svalbard, Norway.

“(Bandar) ini adalah lokasi terakhir dan bandar yang paling hujung (di) Utara yang ada di muka bumi. Pada 2017, umur saya 21 tahun, habis SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) saya terus datang sini.

“Saya satu-satunya rakyat Malaysia yang tinggal di Svalbard dan satu-satunya rakyat Malaysia Sabah yang tinggal di sini. Saya bekerja di hotel dan restoran. Saya buat dua kerja,” ceritanya kepada FMT menerusi aplikasi Google Meet.

Tinggal di hujung dunia, Khairul menceritakan perihal cuaca yang amat unik dialami hanya 2,500 penduduk di sana. Mereka terpaksa menjalani rutin harian tanpa cahaya matahari selama enam bulan.

Ada ketikanya, mereka perlu menjalani kehidupan seperti biasa dengan cerah sepanjang masa selama empat bulan.

“Bulan empat (April) hingga bulan tujuh (Julai) cuaca di sini cerah sepenuhnya (tiada malam). Bermula bulan tujuh, ada siang dan malam (seperti) normal. Bermula bulan sepuluh (Oktober) hingga bulan tiga (Mac, kami alami) cuaca gelap. Matahari tiada langsung.

“Bagi yang pertama kali (datang sini) ia sangat susah (nak sesuaikan diri). Tapi akan terbiasa (nanti). Saya sekarang tidur pun sudah ‘okay’ dan sudah biasa dengan fenomena ini. Bagi kami ini sudah normal,” katanya.

Pertama kali menatap aurora di langit menggugurkan air mata Khairul. (Gambar Khairul Fuad Junaidi)

Menurut Khairul, aktiviti utama ekonomi Longyearbyen adalah sektor pelancongan. Pelancong datang sepanjang tahun untuk merasai pengalaman berbeza.

“Di sini ada tujuh hingga lapan buah hotel. Pelancong datang di semua empat musim. Ada yang nak rasai musim panas, ada yang nak tengok cahaya aurora,” beritahunya.

Aurora kebiasaannya hanya dapat dilihat kawasan kutub, umpama tirai cahaya di langit malam. Fenomena tu disebabkan interaksi antara medan magnet bumi dengan angin suria.

“Pengalaman manis saya dapat melihat cahaya aurora dan lihat kebesaran Allah dengan mata saya sendiri. Saya berdiri selama tiga jam melihat aurora. Ketika itu rasa nak menangis kegembiraan, itu paling manis,” kongsinya.

Khairul tidak mengalami masalah mendapatkan makanan halal di sana. Namun pada awalnya, Khai dan tiga lagi saudara seagama dengannya mengalami masalah kerana terpaksa berpuasa selama 22 jam, mengikut waktu di Longyearbyen.

Seorang mufti di Norway memberitahu mereka untuk berpuasa selama 17 jam, ikut daerah terdekat iaitu Tromso di tanah besar Eropah.

Pekan kecil tapi lengkap

Khairul berkata penduduk Longyearbyen saling mengenali kerana jumlah mereka yang kecil.

“Di sini ada sekolah satu, universiti satu, pusat beli belah satu, kedai runcit satu. Semuanya satu tapi ia tidak membebankan dan masih terkawal.

Longyearbyen bergelap selama enam bulan. (Gambar Khairul Fuad Junaidi)

“Di sini visa percuma. Boleh duduk selama mana kita mahu dan tak perlu permit warganegara untuk kerja di sini. Asalkan kita boleh bertahan untuk makan minum, ia sudah mencukupi,” katanya.

Ditanya apakah rancangan seterusnya, Khai bercadang membuka sebuah cafe yang menampilkan menu terkenal di Malaysia.

“Menerusi cafe itu, orang dapat tahu budaya kita, makanan kita, dan saya akan gantung gambar-gambar (mercu tanda) yang ada di negara kita seperti gunung Kinabalu, KLCC, dan sebagainya.

“Saya rancang untuk menetap di sini untuk tempoh 10 hingga 15 tahun akan datang lagi,” katanya, yang kali terakhir pulang ke Malaysia pada 2017.

Khairul juga berkongsi cara untuk sesiapa yang berminat melancong ke Longyearbyen, yang memakan masa selama dua hari.

“Saya naik kapal terbang dari Sabah ke KLIA. Dari KLIA sampai ke Dubai atau Doha kemudian ke Oslo, ibu negara Norway.

“Dari Oslo ke Troms, sebuah negeri dalam Norway. Dari Troms sampai Svalbard,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.