Kalau kita menonton filem P Ramlee kita akan mendapati para wanitanya ayu berkebaya. Ambil saja filem Madu Tiga. Perempuan Melayu pelbagai tangga usia begitu yakin berkebaya tetapi di pagi Raya sekarang, kebaya dianggap pakaian ‘antik’ dan jubah kelihatan lebih mudah dan selesa untuk disarung.
Jika kita merujuk iklan-iklan baju raya dalam talian yang banyak itu terdapat banyak pertandingan atau perlumbaan untuk merebut perhatian pelanggan. Akan tetapi bagaimana baju raya mengalami perubahan dan perkembangannya membawa ke hari ini dekad demi dekad?
Perihal busana berkait rapat dengan sejarah bangsa manusia. Pakaian juga dibincangkan sebagai ‘fesyen’. Pakar dan pengkaji fesyen Itali seperti Stefania Saviolo dan Salvo Testa berpandangan fesyen adalah bahagian daripada kehidupan, satu bentuk komunikasi, dan menggambarkan identiti.
Fesyen sangat ditentukan beberapa faktor seperti tujuan ia dikenakan, berkait keperluan pada masa atau musim tertentu. Hal tersebut mencorakkan produk, gaya, bahan, dan warna. Justeru fesyen sangat bergantung kepada ehwal persekitaran seperti iklim, keperibadian, demografi, psikografi, agama, dan macam-macam. Terdapat juga fesyen gila-gila yang mensetankan semua di atas kerana dianggap sebagai satu penyataan peribadi yang boleh menggambarkan orientasi seksual, identiti kepercayaan, keahlian dalam politik, atau kecenderungan estetika.
Dalam erti kata lain fesyen sangat dicangkuk trend semasa. Trend fesyen itu pula boleh berubah kerana sebab-musabab ekonomi, sebagai contoh revolusi industri dengan penggunaan mesin membawa perubahan dengan seni kepada baju yang dihasilkan secara banyak. Atau juga sebab landaan politik dan budaya di mana kita dapat melihat Iran sebelum Revolusi Islam 1979 banyak dipengaruhi ciri Barat, tetapi kemudiannya selepas itu para wanita mereka mengenakan cadur.
Satu hal lain ialah gaya dalam fesyen ini menurut Saviolo dan Testa akan berulang.
Menurut Muhammad Hisyam Zakaria, Asliza Aris, Norwani Md Nawawi, dan Nasaie Zainuddin dalam majalah mereka yang bertajuk “The Evolution of Men’s Fashion Trend on Malay Festival Costume ‘Baju Raya’ in Malaysia (1930-2017)”, terdapat evolusi baju raya dalam kalangan orang lelaki.
Dalam tempoh dekad 1930-an sehingga 1940-an umat Melayu berdepan dilema transisi budaya sama ada untuk merujuk Barat yang dipakej oleh segelintir pihak sebagai kemodenan, atau terus memegang kepada unsur tradisi. Kacukan dua pengaruh ini membawa kepada baju raya dengan sarung pelikat yang dipadankan dengan kasut kulit menggantikan capal, ketika tahun-tahun 1950-an. Segelintir pula pada 1958, mengenakan Baju Melayu Teluk Belanga dengan kain pelikat di pagi raya selain menggantikan songkok dengan kopiah.
Dekad selepas itu juga menyaksikan baju raya ala Bapa Kemerdekaan Negara, Tunku Abdul Rahman, di mana baju raya lelaki adalah baju Melayu dengan poket di atas itu diselitkan sapu tangan sebagai aksesori. Ia ternyata pengaruh Barat yang menyelitkan sapu tangan di saku atas pada sut atau jaket.
Perubahan baju raya menjadi lebih ketat dan mengikut potongan badan dalam tahun-tahun 1970-an dengan pengaruh stail militari (tahun-tahun itu adalah selepas Darurat). Saya masih ingat tahun-tahun 1970-an itu kebanyakan lelaki lebih kurus, sasa dan jarang-jarang sekali buncit atau menggeleber. Barangkali faktor pemakanan ketika itu juga sangat menentukan.
Dekad 1980-an pula baju raya lelaki sangat dipengaruhi oleh dua orang selebriti ini iaitu Sudirman dan Den Wahab yang dikatakan bertanggungjawab mempopularkan warna-warni berani untuk baju lelaki. Malah ketika ini jugalah idea ‘Baju Melayu Sedondon’ itu muncul dengan menserasikan baju, seluar, beserta samping dengan warna yang sama, atau beraneka.
Keinginan untuk meminjam budaya lain dalam tahun 2000 juga mendorong Baju Melayu ala Sam Foo. Pereka fesyen Zerry Zamri dalam tahun 2015 pula memperkenalkan zip pada baju Melayu lelaki dan terdapat kecenderungan mengenakan baju tersebut dengan jeans. Ketika ini juga baju Melayu, corak V yang mendedahkan bulu dada diketengahkan oleh Bernard Chandran.
Dalam kepelikan itu semua, landaan agama dekad 1980-an yang semakin kental membuatkan sebahagian besar kaum lelaki mula berubah ke jubah dan serban. Ia dianggap senang, kerana hanya perlu menyarungnya sahaja. Pengaruh masyhur al-Arqam ikut mengangkat trend ini.
Kemudahan urusan ke Timur Tengah khusus tanah suci mendorong perubahan ini turut berlaku. Juga kerana adanya percambahan diaspora Arab mutakhir di negara kita. Perlahan-lahan juga kita melihat kurta diperkenalkan sebagai baju raya yang menunjukkan fesyen kita ikut dipengaruhi gaya luar.
Kebelakangan ini era gagasan Melayu-Islam, kaum kanan dilihat memperkenalkan baju Melayu, ala pahlawan dan disertakan dengan tanjak. Walaupun kebanyakan mereka membelasah sahaja gaya setanjak itu tanpa mengetahui falsafah dan siapakah gerangan pemakainya, ia kini semakin popular khusus memberi indikasi cara pemikiran mereka yang memilih fesyen ini.
Untuk wanita, kebaya sebenarnya menghilang dari mata kita gara-gara Azah Aziz ketika Kongres Dasar Kebudayaan Kebangsaan pada 1971 telah menyarankan agar kebaya digantikan dengan baju kurung dengan alasan ia menjolok mata, lebih sesuai budaya Jawa atau Indonesia, dan tidak mencirikan kebangsaan yang ketika itu diukur mesti berasaskan Melayu. Akibatnya Kurung Riau dan Pahang mendapat tempat menggantikan kebaya. Inilah punca kebaya semakin menghilang dari retina mata masyarakat.
Dengan landaan kebangkitan Islam pada tahun 1980-an besertakan Dasar Penerapan Nilai-nilai Islam, kepala dan rambut perempuan Melayu semakin bertutup dan selendang digantikan tudung yang untuk sesetengah mereka agak labuh, berwarna muram, dan sungguh ringkas.
Dalam kalangan orang Melayu, baju raya juga selalunya mestilah baharu atau kelihatan baharu, justeru ada keinginan untuk berbeza (novelty) dan menciptakan yang membawa inovasi dan kreativiti yang kita saksikan hari ini.
Apa pun gerangan pemakainya, janganlah sampai bertelanjang di pagi raya.
Selamat Hari Raya Aidilfitri. - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.