`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Wednesday, May 4, 2022

Bangkitlah, tiada formula mudah berjaya, pesan juruterbang kepada anak-anak keluarga B40

 

Juruterbang, Ezairol Rezan Zainol, 43, mahu kepada mereka yang sedang “jatuh” untuk kembali bangkit dan sentiasa positif meneruskan kehidupan.

RAWANG: Ezairol Rezan Zainol masih sebak mengenangkan kesusahan hidup keluarganya, bertahun-tahun selepas beliau sudah mencapai cita-cita menjadi seorang juruterbang.

Lelaki berusia 43 tahun itu berkata, keluarganya begitu susah sehinggakan terpaksa mengumpul wang kocek walaupun hanya ingin menikmati nasi lemak.

“Masa di sekolah, saya jarang makan di kantin sekolah sebab wang cukup-cukup untuk beli kuih dan tambang bas. Kalau teringin nak beli nasi lemak atau mi kari itu, terpaksa kumpul duit sekolah dua hari baru cukup,” katanya kepada FMT.

Ezairol membesar dalam keluarga B40. Berasal dari Yong Peng, Johor, anak sulung daripada enam adik-beradik itu berkata, bapanya, seorang bekas askar mencari rezeki dengan menanam sayur dan ibunya mengambil upah menjahit baju.

Sambil membantu ayah, Ezairol ketika membesar menjual pisang goreng demi membantu keluarga.

“Kalau kita miskin dan tidak punya apa-apa, orang takkan pandang mahu pun hormat pada kita. Malah, akan ada yang menghina kerana kau golongan B40 yang tidak punya apa-apa,” katanya.

Bapa kepada tiga anak itu berkata, walaupun hidup susah, dia sama sekali tidak melupakan pelajaran.

Ezairol tekad berusaha sehabis mungkin dalam bidang pelajaran dengan harapan untuk keluar daripada belenggu kemiskinan.

“Tiada jalan mudah atau ‘formula’ bagi orang daripada keluarga susah. Jika anda sedang belajar, maka belajarlah bersungguh-sungguh. Jika anda sedang bekerja atau berniaga, buatlah betul-betul,” katanya.

Katanya, masih segar dalam ingatannya apabila mengenangkan ibunya mengeluarkan simpanan, wang upah menjahit yang diselitkan pada bantal, semata-mata bagi membiayai pelajaran ke menara gading di Universiti Teknologi Malaysia Kuala Lumpur (UTMKL).

Ezairol berkata, ketika di UTMKL, dia mengambil bidang Diploma Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik dan ketika itu memerlukan RM1,000 untuk mendaftar di pusat pengajian berkenaan.

Katanya, impian ibunya hanya satu, iaitu ingin membuktikan anaknya juga boleh berjaya seperti orang lain.

Selepas melanjutkan pelajaran ke universiti, dia diterima masuk dalam polis sebagai pegawai berpangkat inspektor.

Ezairol Rezan Zainol ketika berkhidmat dalam pasukan polis.

Ketika menjawat sebagai pegawai polis pula, dia berjaya melepasi ujian pemilihan bagi pengambilan juruterbang baharu polis.

“Masa dalam polis dulu saya bawa Pilatus Porter PC6 B2H4, Cessna Caravan 208, Cessna 172 dan Beechcraft King Air B300,” katanya.

Menurutnya, cita-citanya adalah menjadi seorang juruterbang dan pada usia 40 tahun, dia mengambil keputusan berhenti sebagai juruterbang polis dan bertugas sebagai juruterbang di syarikat swasta Raya Airways.

Pada masa sama, dia sempat menasihatkan anak-anak yang berasal daripada keluarga susah bahawa tiada formula untuk berjaya.

“Bangkitlah dari kejatuhan. Bangkit kembali dengan lebih kuat. Anda mampu jadi jauh lebih baik dari apa yang anda fikirkan. Hanya diri kita sendiri yang boleh menolong kita dan menentukan sejauh mana kita boleh melangkah pergi,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.