`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 

10 APRIL 2024

Wednesday, May 18, 2022

‘Buat projek lembu tak jadi’, bekas tapak NFC ditanam jagung

 

Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun, berkata buat permulaan projek tanaman jagung melibatkan kawasan seluas 160 hektar daripada keseluruhan lebih 600 hektar tanah bekas tapak National Feedlot Corporation (NFC). (Gambar Twitter)

PETALING JAYA: Kerajaan Negeri Sembilan menerusi Menteri Besar Diperbadankan (MBI) akan membangunkan tapak projek ternakan lembu National Feedlot Corporation (NFC) terbengkalai dekat Gemas, dengan tanaman jagung bijirin.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun, berkata projek itu akan dilaksanakan dengan usahawan kerajaan Selangor melalui Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) dan dijangka dimulakan tahun ini.

Beliau berkata, buat permulaan projek tanaman jagung itu akan membabitkan kawasan seluas kira-kira 160 hektar daripada keseluruhan lebih 600 hektar tanah yang terdapat di kawasan berkenaan.

Katanya, ini adalah projek tanaman jagung bijirin yang dianggap terbesar yang akan dilaksanakan di Negeri Sembilan.

“Buat projek lembu pun tak jadi, adalah lebih baik kita cuba majukan dengan projek lain seperti tanaman jagung bijirin. Tanah berkenaan adalah milik MBI dan projek ini dilaksanakan dengan usaha sama PKPS dan yang pertama dilakukan dengan agensi itu.

“Perjanjian persefahaman antara MBI dengan PKPS bagi menjayakan projek itu dilakukan di Shah Alam, hari ini,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Aminuddin berkata, walaupun kawasan terbabit projek tanaman jagung bijirin itu tidak besar, namun kerajaan negeri merasakan usaha ke arah menghasilkan sendiri jagung berkenaan perlu dimulakan segera.

“Usaha menanam jagung bijirin ini adalah antara langkah untuk menghasilkan sendiri jagung bijian dalam negara untuk dijadikan makanan ternakan terutama ayam.

“Ia sekali gus dapat mengurangkan kebergantungan kita atau negara kepada jagung bijian yang diimport dari beberapa negara luar,” katanya.

Untuk rekod, menerusi Rancangan Malaysia Ke-9 (RMK9), kerajaan meluluskan peruntukan RM80 juta untuk membangunkan Program Feedlot Nasional iaitu RM40 juta untuk NFC di Gemas dan selebihnya bagi pembangunan ladang satelit fidlot di seluruh negara.

Statistik ketika itu mendapati pengeluaran daging lembu dalam negara masih di tahap rendah dengan kadar sara diri pengeluaran daging lembu dianggarkan hanya 23% pada tahun 2005.

NFC adalah selaras usaha Kementerian Pertanian dan Industri Makanan menerusi Dasar Pengeluaran Daging Lembu Negara untuk meningkatkan populasi ternakan lembu kepada 1.3 juta ekor dan meningkatkan pengeluaran daging daripada 18% kepada 28% kadar sara diri (SSL) dengan pengeluaran sebanyak 45,000 tan metrik daging pada 2010. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.