`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Wednesday, May 11, 2022

Cuba rempuh anggota, polis tembak kereta penjenayah

 

Dua suspek yang cuba merempuh anggota polis berjaya ditahan di Jalan Melulugus, Beaufort, malam tadi.

BEAUFORT: Polis terpaksa melepaskan tembakan ke arah tayar kereta dinaiki dua pengedar dadah selepas mereka cuba merempuh anggota keselamatan itu dalam kejadian di Kampung Limbawang, di sini, malam tadi.

Bagaimanapun, dua suspek berusia 31 dan 35 tahun berjaya ditahan selepas kereta mereka terbabas di tepi jalan yang sedang dinaiki air di Jalan Melulugus.

Ketua Polis Beaufort, Yusoff Zaki, berkata sebelum itu sepasukan anggota menjalankan pemerhatian di sebuah rumah tidak bernombor di kampung terbabit kira-kira 8.30 malam.

Katanya, terdapat sebuah kereta Proton Saga dinaiki dua lelaki berada dalam keadaan mencurigakan telah masuk ke kawasan berkenaan.

“Polis menghampiri kereta terbabit dan mengarahkan pemandu (suspek) berhenti namun dia bertindak agresif sebelum memandu laju ke arah pasukan hingga hampir melanggar anggota.

“Polis kemudian melepaskan beberapa das tembakan ke arah tayar bagi tujuan keselamatan diri dan untuk menghalang kereta terbabit namun ia memecut laju menghala ke Jalan Melulugus,” katanya ketika dihubungi.

Yusoff berkata, polis kemudian mengejar kereta suspek sehingga ke Jalan Melulugus berhampiran sebuah kolej sebelum mereka terbabas.

“Kedua-dua suspek cuba melarikan diri namun berjaya diberkas. Pemeriksaan dalam kereta dinaiki suspek menemui satu peket plastik lut sinar sederhana besar mengandungi ketulan hablur jernih disyaki syabu seberat 6.11g di atas tempat duduk sebelah pemandu.

“Suspek yang ditahan serta barang rampasan dibawa balik ke IPD Beaufort untuk tindakan lanjut dan suspek juga didapati positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine,” katanya.

Katanya, salah seorang suspek dikesan mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan penyalahgunaan dadah.

“Salah seorang suspek juga mengaku mendapatkan bekalan dadah syabu untuk diedar daripada seorang pengedar tempatan dan polis sedang menyiasat mengenainya. Kes disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.