`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Sunday, May 8, 2022

Doktor pelatih dibuli: Jangan izinkan kebodohan

 

Amat dialu alukan Kementerian Kesihatan akan menubuhkan pasukan petugas bebas bagi menyiasat kematian seorang doktor pelatih Hospital Pulau Pinang baru baru ini. Menurut laporan, seorang doktor pelatih dikatakan jatuh daripada bangunan kediamannya di George Town.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin turut memberitahu pasukan petugas bebas itu juga akan meneliti dakwaan budaya buli membabitkan doktor senior ke atas doktor junior di hospital awam.

Menerusi laporan FMT pada 5 Mei lalu, beberapa individu yang pernah dan masih menjadi doktor pelatih di Hospital Pulau Pinang mendedahkan pengalaman perit masing masing dan mendakwa Hospital Pulau Pinang adalah “hospital paling teruk” untuk doktor pelatih negara ini.

Hampir semua mendakwa mereka terlebih kerja, didera dan dibuli bukan sahaja oleh senior tetapi juga jururawat. Lantas Hospital Pulau Pinang dikatakan terkenal dengan budaya buli yang digeruni ramai doktor pelatih.

Disember 2020 dilaporkan seorang doktor pelatih meninggal dunia secara mengejut beberapa minggu selepas memulakan tugas di hospital berkenaan. Namun tidak dapat dipastikan sama ada kematiannya ada kaitan dengan budaya buli. Begitu juga doktor pelatih yang jatuh bangunan 18 April lalu. Kes sekarang dalam siasatan polis. Setakat ini, polis belum mengeluarkan butiran terperinci selain mengklasifikasikan kes itu sebagai “mati mengejut”.

Bagaimanapun, susulan kematian doktor pelatih berkenaan, beberapa pihak termasuk Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow menggesa kerajaan pusat menubuhkan jawatankuasa inkuiri khas menyiasat kes itu dan juga budaya buli yang didakwa berleluasa.

Timbalannya, P Ramasamy menyarankan siasatan ke atas kematian doktor pelatih itu mesti juga mengambil kira aspek dakwaan budaya buli. Nampaknya gesaan mereka diturut KKM. Apa yang mereka tuntut, KKM beri.

Oleh itu pengumuman Khairy mengenai penubuhan pasukan petugas bebas yang akan menyiasat kematian doktor pelatih berkenaan dan juga dakwaan budaya buli membabitkan doktor senior terhadap doktor junior di hospital awam (maksudnya bukan sahaja Hospital Pulau Pinang) seperti dikatakan pada awal artikel ini amat dialu-alukan. Ia langkah bagus.

Cuma sebelum pengumuman Khairy itu, Exco Kerajaan Pulau Pinang Norlela Ariffin mendakwa pernah mmbangkitkan isu masa bekerja “tidak munasabah dan tidak berperikemanusiaan” yang dihadapi doktor pelatih atau “houseman”. Ini berdasarkan pengalaman keluarganya sendiri di Malaysia “yang mana pekerja lain dalam sektor lain tidak akan pernah melaluinya”.

Akan tetapi kata beliau “Kementerian Kesihatan dan ahli politik tidak mengambil serius isu ini”. Sebaliknya kata Norlela, maklum balas yang biasa beliau dapat daripada mereka (KKM dan ahli politik) adalah keadaan kerja seperti yang dibangkitkan adalah “kelaziman yang perlu dilalui oleh semua doktor”. Seolah-olah “budaya yang diterima dalam profesion perubatan,” katanya.

Saya percaya doktor pelatih kita, kalau bukan semua, majoriti, bukan nak bermanja manja dan takut kerja banyak. Saya kira kalau kerja 24 jam pun mereka sanggup jika “environment” bagus di mana si senior tunjuk ajar dan bimbing si junior. Bila penat rehat seketika dan rakan ambil alih tugas dan kemudian sambung bila keletihan sudah tidak dirasai sedikit sebanyak.

Tidak perlu maki hamun, tidak perlu tuding jari dan sebagainya.

Dahulu negara ini mengalami kekurangan doktor di hospital awam. Lalu, kerajaan terpaksa membawa masuk doktor dari negara lain seperti Myanmar, Indonesia, India dan sebagainya. Saya pernah bertemu seorang doktor dari Palestin yang bertugas di Institut Jantung Negara dahulu. Sudah lama beliau tidak kelihatan di IJN. Mungkin kontrak tamat dan sudah pulang ke negaranya.

Apa pun, itu pendekatan jangka pendek yang diambil kerajaan. Tindakan jangka panjang kerajaan adalah meningkatkan bilangan pelajar perubatan di universiti tempatan dan luar negara. Hasilnya kita ada ramai anak muda warga Malaysia bergelar doktor yang bersedia menabur khidmat bakti kepada rakyat.

Sebagai doktor pelatih, mereka bersemangat untuk menjalankan tugas. Untuk praktikkan apa yang dipelajari. Malangnya dakwaan buli dan sebagainya timbul. Jika benar ia berlaku, ini boleh membunuh karier doktor muda kita. Ini sesuatu yang sangat menyedihkan. Boleh juga dikatakan, kebodohan diizin berlaku jika budaya buli dan dera dibenarkan berleluasa.

Ini merugikan negara. Pasti ramai doktor pelatih, sebaik sahaja lengkap “housemanship” akan meninggalkan perkhidmatan awam. Kemungkinan besar mereka akan bekerja di Arab Saudi, Oman, Emiriah Arab Bersatu yang menawarkan gaji lumayan dan layanan baik. Dan jangan lupa Singapura, perlu diingat semasa pandemik Covid-19 mengganas, ramai doktor kita mendapat tawaran yang amat menarik daripada hospital Singapura.

Oleh itu, pasukan petugas bebas yang akan ditubuhkan seperti dijanji Khairy mempunyai tugas amat penting. Mereka mesti mengenal pasti punca kes doktor pelatih yang “mati mengejut.”

Mereka juga wajib menjawab persoalan adakah budaya buli wujud dalam kalangan pengamal perubatan di hospital awam? Jika tidak, Alhamdulillah. Jika ada, pastikan ia dihentikan segera. Dan beri pembelaan bukan sahaja kepada doktor pelatih tetapi semua pekerja sektor perubatan awam yang pernah didera.

Pada masa lalu, pelbagai badan siasatan, pasukan petugas khas, jawatankuasa inkuiri ditubuhkan apabila timbul sesuatu isu. Sedihnya siasatan tinggal siasatan. Isu dan masalah yang disiasat tidak diatasi. Ada juga yang terus berlalu.

Walhasil balik asal. Ini kita mahu kali ini. Kita mahu pasukan petugas bebas yang ditubuhkan KKM kali ini sesuatu yang akan benar-benar membawa hasil. Jika ada saranan dan cadangan yang mereka utarakan, kerajaan pastikan ada tindakan susulan yang cepat dan efektif. Dengan itu, masalah yang dihadapi akan diatasi.

Oh ya…bercakap mengenai masalah doktor pelatih teringat masalah doktor kontrak, macam-macam hujah dan cadangan kedengaran seketika dahulu. Menteri bercakap, pegawai tinggi KKM juga bercakap. Adakah sudah selesai? Atau masalah itu masih berstatus “masalah”? - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.