Menghapuskan AP untuk import makanan adalah satu langkah yang amat berani dari pihak perdana menteri.
Isu AP untuk import makanan ini telah lama diperkatakan dan dikupas oleh ahli-ahli ekonomi, dan akhirnya menjadi kenyataan.
Tetapi apakah ini satu kejayaan atau langkah yang memberangsangkan untuk negara bergerak maju ke depan?
Sebenarnya reaksi berbeza diperhatikan; terserah di sebelah mana anda berada.
Siapa pemilik AP?
Kalau anda seorang ahli parti politik yang mendapat kemudahan AP dan menjualkan AP anda kepada pengimport makanan seperti beras, gula, tepung, daging dan berbagai-bagai jenis bahan makanan yang lain, anda akan merasa terkilan dan amat marah dengan langkah tiba-tiba dari pihak kerajaan ini.
Tindakan PM akan dilihat sebagai tidak adil, memusnahkan peluang anda untuk mendapat wang yang lumayan secara berkala.
Anda telah memiliki AP begitu lama tanpa sebarang modal, usaha dan risiko, tetapi bagi rakan peniaga anda yang anda memeras mereka selama ini, yang mengeluarkan modal untuk menceburi bidang pengimport makanan yang tulin pula, mereka akan mengalu-alukan tindakan PM itu.
Kerana yuran AP yang mereka bayar kepada pemilik AP selama ini sudah tiada. Kos itu hilang dan ahli politik, kakitangan kerajaan, dan pegawai yang menggunakan nama ahli keluarga untuk mengeluarkan AP itu tidak lagi perlu.
Dengan pengumuman yang dibuat oleh PM itu, pemilik AP tidak lagi berkuasa, hilang pendapatan, dan tidak lagi berdaya untuk meminta bayaran yang bukan-bukan.
“Cable” yang mereka miliki itu hilang sekelip mata.
AP kereta import
Ramai yang menyarankan kepada PM, supaya AP kereta itu juga mesti dihapuskan juga.
Kalau dulu AP digunakan sebagai sebab untuk melindungi pengilang kereta tempatan, seperti Proton namun sekarang Proton bukan lagi milik negara.
Jadi kenapa kerajaan mesti melindungi mereka dengan ‘mekanisme perlindungan’ yang dinamakan AP kereta import itu?
Begitu juga perbahasan tentang AP makanan ini. Selama ini, siapa yang sebenarnya dilindungi kerajaan? Pengimport makanan tulen atau pemilik AP? Atau pasangan tersebut?
Tentunya pengimport-pengimport makanan yang selama ini menjadi ‘monopoli’ dan menguasai pasaran tempatan dengan harga yang tidak berpatutan kepada ramai para pengguna, usahawan tempatan, dan pembeli keseluruhanya.
Tidakkah dengan menghapuskan AP makanan itu akan memberi daya saing yang lebih baik kepada pengimport makanan keseluruhannya?
Dalam erti kata sebenar, kos import akan turun, kualiti barangan akan naik, dan kerana persaingan dalam pasaran, harga jualan juga akhirnya akan menjadi lebih rendah. Keuntungan sebenarnya kepada pengguna.
Pasaran terbuka
Ini telah banyak terbukti dalam banyak barangan lain seperti bahan-bahan industri yang tidak disekat dalam bentuk AP.
Negara kita banyak menggunakan kaedah AP ini (juga disebut ‘lesen monopoli’) untuk berbagai-bagai perkara lain seperti tenaga kerja atau “supply of foreign labour”, pembantu rumah, visa untuk pelajar di kolej dan universiti tempatan serta pelbagai jenis sekatan lain yang berbentuk ‘monopoli’ atau ‘kuasa mutlak’.
Pembentukan kerjasama antara pihak menteri yang mempunyai kuasa dalam kerajaan dan ahli perniagaan yang mahu menguasai pasaran tertentu telah menjadikan negara kita begitu ketara dalam pelbagai jenis dan bentuk korupsi.
Tetapi dengan terbongkarnya beberapa kes korupsi yang melibatkan beberapa menteri, termasuklah keterangan saksi di mahkamah tentang bayaran berskala kepada bekas-bekas menteri yang terlibat, ramai pembaca akan merasakan bahawa langkah yang dibuat oleh PM itu satu langkah yang bijak.
Langkah ini juga bertepatan dengan waktu dan isu-isu politik semasa. Ia juga akan memberi nafas baru kepada ekonomi negara yang banyak bergantung kepada bahan-bahan import untuk sektor pembuatan dalam negara serta akan menurunkan lagi kadar kos pembuatan tempatan.
Walaupun terdapat pandangan yang berlawanan dengan langkah PM itu, penghapusan AP makanan ini mesti diteruskan.
Kerana ia membuktikan keseriusan dan ketegasan PM yang bukan sahaja mesti menangani kuasa peniaga monopoli, akan tetapi, kuasa-kuasa ahli politik dalaman yang membolot kedua-duanya sekali; politik dan pengimport. - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.