Sejak beberapa hari lalu macam-macam keterangan di mahkamah yang dilapor media berhubung perbicaraan Ahmad Zahid Hamidi yang menghadapi pertuduhan rasuah. Banyak juga yang membuat kita angkat kening dan terbeliak biji mata. Proses mahkamah masih berjalan.
Bagaimanapun, sejak awal lagi pemimpin veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah, berpendapat selagi tidak dijatuhi hukuman bersalah, Zahid “berhak memegang jawatan presiden Umno”. Dalam lain perkataan, kata beliau, selagi Zahid belum didapati bersalah selagi itu beliau berhak memimpin Umno.
“Bagi saya tiada masalah untuk beliau memegang jawatan presiden. Mengikut undang-undang dia masih tidak bersalah”, Tengku Razaleigh dipetik berkata.
Jelas beliau bercakap berdasarkan prinsip “presumption of innocence” atau anggapan tidak bersalah yakni seseorang tertuduh dianggap tidak bersalah sehingga disabit bersalah.
Lalu, sehingga kini, kedudukan Zahid sebagai presiden Umno dilihat kukuh. Malah bertambah kukuh. Jawatan presiden tetap dalam genggaman kerana tiada siapa boleh mencabar untuk merampas jawatan itu pada masa terdekat ini.
Percubaan “merampas” hanya boleh dilakukan secara sah pada pemilihan parti. Tetapi sudah termaktub sekarang dalam perlembagaan Umno pemilihan parti akan hanya boleh diadakan enam bulan selepas pilihan raya umum. Ini berikutan Umno meminda perlembagaannya baru-baru ini.
“Saya dengar adanya suara-suara dalam kalangan kita (Umno) kononnya pindaan ini untuk menyelamatkan kedudukan Zahid Hamidi sebagai presiden. Suka saya tegaskan ia tidak benar,” kata beliau seperti dipetik FMT tempoh hari. Menurut beliau gesaan pindaan perlembagaan parti datang dari suara akar umbi.
Ada pemerhati politik melihat Umno sudah siap sedia untuk berdepan PRU15 dengan pindaan itu. Seperti kita tahu ada kumpulan dalam Umno (khususnya tim Zahid) mahu PRU15 diadakan segera manakala ada kumpulan yang kata sebaliknya.
Namun, apa pun, hakikatnya ialah dengan kekalnya jawatan presiden Umno, Zahid lah yang akan menandatangani watikah calon Umno-BN yang akan bertanding pada PRU15 kelak. Inilah yang dimaksudkan apabila dikatakan tadi kedudukan Zahid bertambah kukuh berikutan pindaan perlembagaan parti pada perhimpunan agung khas 15 Mei lalu.
Ringkas dikatakan, Zahid mempunyai kuasa dan berhak untuk menentukan siapa orang Umno bertanding siapa tidak, termasuk membuat keputusan sama ada Ismail Sabri Yaakob bertanding atau tidak. Namun, persoalan itu sudah pun terjawab jika Umno berpandukan kepada persetujuan Ismail diangkat sebagai “poster boy” pada pilihan raya kali ini. Berdasar ketetapan itu beliau akan bertanding. Tidak begitu?
Tanding pilihan raya adalah langkah awal paling penting bagi sesiapa dalam Umno yang mempunyai aspirasi untuk mengembangkan kerjaya politik, jadi menteri dan sebagainya. Apabila menang. Lebih tepat jika menang.
Bolehkah menang? Itu soal lain. Buat “permulaan” tanding dulu. Lepas “halangan” pertama dahulu. Dapatkan tempat. Jadi calon terlebih dahulu. Untuk itu pastikan ada dalam “the president’s good books”.
Ertinya pastikan presiden berkenan. Orang yang presiden “tak berapa gemar” berisiko tidak diberi watikah. Kesimpulannya tak jadi calon.
Tentulah ada golongan yang presiden tidak berkenan. Orang partinya yang tidak sehaluan, tidak senada, tidak seirama dengan beliau. Bukanlah rahsia besar wujud dalam Umno termasuk dalam kalangan pemimpin lama, berpengalaman, dan juga “ada nama” tidak “sebulu” dengan Zahid.
Tidak perlu sebut nama. Ramai yang bukan setakat boleh agak bahkan tahu kerana seperti dikatakan tadi ia bukan rahsia. Kalau rahsia pun ia “rahsia terbuka”.
Apa yang tim Zahid suka, mereka tidak suka. Apa yang Zahid mahu mereka tidak mahu. Zahid kata ini mereka kata itu. Ini membabitkan soal tindakan, langkah, dan hala tuju parti. Seperti mana-mana presiden, pasti Zahid memerlukan satu tim yang senada dan bersatu bawah kepimpinannya untuk ditawarkan kepada rakyat pada PRU15.
Oleh itu kuasa mengeluarkan watikah calon mewujudkan suatu “peluang” bagi Zahid mengenepikan orang yang tidak “sekepala” dengannya. Antara “alasan” ialah parti mahu menampilkan calon baharu, darah muda.
Memang boleh beliau lakukan namun ini akan pasti menyaksikan tindak balas daripada golongan yang percaya mereka layak dan wajib bertanding tetapi dicicirkan. Tindak balas yang boleh dijangka termasuk “mensabotaj” parti dan juga keluar Umno untuk menyertai parti lain menentang Umno.
Mampukah Umno menghadapi itu semua? Mungkin boleh mungkin juga tidak. Sebagai orang lama dalam politik adakah Zahid tergamak ambil langkah yang boleh memecahkan parti yang dalam keadaan “aman” pun dilihat sudah berpecah?
Pilihan lain yang Zahid ada ialah memilih orang yang tidak senada dengannya untuk jadi calon. Tentunya sebelum watikah diserah kompromi terjalin. Tidak ada jaminan “keamanan” akan berkekalan. Risiko “back to square one” tetap ada. Perbalahan dan ketidaksetujuan lama timbul semula apabila kemenangan tercapai. Itu pun saya ulangi, kalau menang.
Timbul persoalan yang tidak kurang penting. Adakah Zahid sendiri akan bertanding? Ini semua tahu bergantung kepada keputusan mahkamah. Sekadar menyatakan apa yang nyata. Tetapi perlu diingat Zahid menghadapi pelbagai tuduhan yang akan mengambil masa untuk didengar di mahkamah.
Lalu timbul persoalan tanding atau tidak, adakah wajar Zahid menjadi panglima apabila perang pilihan raya tercetus nanti? Ada pihak dalam Umno yang berpendapat kalau Umno bertarung pada pilihan raya dengan Zahid selaku presiden, ia akan memberi kesan negatif kepada parti oleh kerana kes mahkamah yang beliau hadapi.
Bagi Tengku Razaleigh, “ini terpulang kepada rakyat siapa nak kata positif siapa nak kata negatif”.
Lantas pelbagai perkiraan, bermacam kemungkinan mesti diteliti dan diambil kira. Silap langkah padah.
Jelas walaupun berkuasa besar, bukan senang jadi Zahid. - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.