`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Sunday, May 8, 2022

Penyatuan ummah lebih penting, Tuan Ibrahim jawab Zahid selepas dakwa PAS ‘talam dua muka’

 

Presiden Umno Zahid Hamidi perlu membaca dan menghayati semula apa yang disepakati dalam Muafakat Nasional (MN), kata Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Penyatuan ummah lebih besar daripada penyatuan politik kepartian atau kerjasama politik, kata Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man, menjawab kenyataan Presiden Umno Zahid Hamidi, berhubung sikap ‘talam dua muka’ parti itu.

Tuan Ibrahim berkata, parti itu melihat keperluan untuk penyatuan dalam kerangka yang ditandatangani menerusi piagam Muafakat Nasional (MN), yang dimeterai susulan apa yang didakwa sebagai “ancaman kepada masa depan Melayu Islam”.

“Elok kalau dibaca dan dihayati semula apa yang telah disepakati, waktu itu PAS dan Umno merasai adanya ancaman kepada masa depan Melayu Islam dan kita berhimpun menentangnya,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Semalam, Zahid dilaporkan memberi bayangan mustahil untuk gagasan MN diteruskan jika PAS terus memperlihat sikap ‘talam dua muka’.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu, berkata Umno mahu rakan yang setia dalam MN, bukan sahaja berdasarkan daripada kenyataan-kenyataan dikeluarkan, tetapi menerusi tindakan dan keputusan dibuat PAS.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim yang juga menteri alam sekitar dan air, berkata dalam konteks politik kepartian, setiap pihak boleh membuat apa yang difikir sesuai untuk partinya dan keadaan itu tentu berbeza antara satu kawasan, negeri berbanding lain.

“Selangor, Perak kelihatan berbeza dengan sikap Presiden Umno, bagaimana pula Pulau Pinang? Apakah sekadar menang sorak, kampung tergadai,” katanya.

Beliau berkata, PAS yakin setiap parti mempunyai hala tuju dan strategi masing-masing menjelang pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

“Pelbagai andaian juga akan muncul. Kita masih terbuka untuk melihat perkara ini dengan lebih serius. Buat masa ini PAS sebahagian komponen Perikatan Nasional (PN) dan akan meneruskan agenda menggesa penyatuan ummah diteruskan,” katanya.

Katanya, PAS yakin cabaran kepada Barisan Nasional (BN) adalah PN berdasarkan keputusan pilihan raya negeri Melaka dan Johor. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.