`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Thursday, May 5, 2022

Protes kediaman terbengkalai, pembeli buat ‘majlis rumah terbuka’

 

Pembeli duduk menjamu selera di kediaman mereka yang terbengkalai di Sentoria Borneo Semariang Garden, Kuching. (Gambar Facebook Sarawak Roads Update)

PETALING JAYA: Hampir 200 pembeli rumah di Sentoria Borneo Semariang Garden di Kuching, Sarawak, menganjurkan ‘majlis rumah terbuka’ Aidilfitri di kediaman terbengkalai hari ini.

Jurucakap kumpulan pembeli rumah Fasa 7 perumahan itu, Abdul Rahman Abdul Hamid, 33, berkata mereka amat kecewa dengan sikap pemaju yang terus menghilang sejak kali terakhir menghantar surat kepada mereka, September tahun lalu.

Dalam surat itu, dakwanya, pemaju berjanji meneruskan projek terbabit pada suku keempat tahun lalu dan memberi jaminan menyiapkannya dalam tempoh setahun.

Bagaimanapun, selepas itu pemaju berkenaan terus terputus hubungan dan pembeli kini tidak tahu untuk berurusan dengan siapa selepas pemaju yang beribu pejabat di Kuantan, Pahang itu menutup pejabatnya di Kuching.

“Pembeli kini buntu selepas pelbagai usaha dilakukan, termasuk mengadakan pertemuan dengan pemaju serta pihak berwajib pada 3 Okt 2020.

“Ketika itu, pihak berwajib memberi tempoh tiga bulan kepada pihak pemaju untuk menyelesaikan masalah, namun sekarang sudah berada dalam tahun 2022 ia masih tiada penyelesaian,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Rahman berkata, projek perumahan yang bermula sejak 2018 itu membabitkan lebih 1,000 unit rumah terdiri Fasa 4, 5 dan 7 dengan sebanyak kira-kira 600 unit, manakala Spektra 1 dan Spektra 2 pula 500 unit.

Pembeli mengadakan ‘majlis rumah terbuka’ di kediaman mereka yang terbengkalai. (Gambar Facebook Sarawak Roads Update)

Katanya, pembeli yang majoritinya kakitangan awam kini cukup terbeban kerana terpaksa menyewa rumah dan pada masa sama membayar ansuran bulanan antara RM1,000 hingga RM2,000.

“Pembiayaan bayaran pinjaman perumahan dibuat secara potongan gaji kira-kira tiga tahun sejak 2019, namun rumah masih belum dapat disiapkan.

“Pembeli memang amat terkesan, terutama dari segi kewangan. Bebanan hidup semakin berat dan impian kami untuk menyambut perayaan di rumah sendiri entah bila akan menjadi kenyataan,” katanya.

Beliau berkata, mereka amat mengharapkan campur tangan kerajaan negeri bagi menyelesaikan masalah yang membebankan rakyat.

Sementara itu, Premier Sarawak Abang Johari Openg ketika ditemui pada Majlis Ramah Tamah Aidilfitri di Hotel Raia di Kuching, memberi jaminan kerajaan negeri akan mengambil alih projek berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, isu perundangan perlu diselesaikan terlebih dulu kerana pemaju terbabit adalah syarikat senarai awam.

“Saya tidak fikir mereka (pemaju) akan dapat meneruskan projek perumahan itu.

“Sebab itu, kerajaan Sarawak bersedia mengambil alih projek berkenaan, namun kita perlu menyelesaikan isu perundangan terlebih dulu,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.