`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Thursday, May 5, 2022

Tohmah pihak berkuasa guna samseng ‘Red Army’ berniat jahat, kata polis

 

Polis mengesan penularan semula video berdurasi 36 saat itu bersifat fitnah dan hasutan, kata Ketua Polis Pahang Ramli Mohamed Yoosuf. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Polis menyiasat tuduhan pihak berkuasa memaksa pekebun memberi sumbangan atau hasil kebun mereka akan dimusnahkan dengan menghantar sekumpulan samseng digelar ‘Red Army’, kata Ketua Polis Pahang Ramli Mohamed Yoosuf.

Katanya, tohmahan dilemparkan kepada agensi penguatkuasaan di negeri itu berhubung operasi pemutihan tanah di Cameron Highlands, yang tular di media sosial termasuk aplikasi WhatsApp, sejak akhir bulan lalu.

Beliau berkata, pihaknya mengesan penularan semula video berdurasi 36 saat itu, yang dirakamkan semasa operasi memusnahkan tanaman di tanah milik kerajaan negeri pada 18 Dis 2019, dengan disertakan kenyataan bersifat fitnah dan hasutan.

“Video itu mendakwa ada amalan rasuah di Cameron Highlands dan pekebun yang menggaji warga asing terutamanya warga Myanmar secara haram perlu membayar kepada pihak kerajaan dan pihak berkuasa antara RM35 hingga RM40 sehari bagi setiap pekerja.

“Turut dinyatakan ialah polis memaksa pekebun memberi sumbangan bagi memastikan pekebun dapat menjalankan aktiviti tanpa gangguan dan dikatakan pihak berkuasa akan menghantar sekumpulan samseng digelar ‘red army’ untuk memusnahkan hasil kebun jika gagal membayar wang selain sebagai pengajaran kepada pekebun lain,” katanya lapor Bernama.

Ramli berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, di sini, hari ini.

Semua kenyataan tersebut, tegas Ramli, bersifat tohmahan, dipercayai untuk memburukkan agensi penguatkuasaan dan kerajaan negeri, selain Pertubuhan Pekebun-Pekebun Sayur-Sayuran Cameron Highlands juga telah menafikan berlakunya amalan seperti didakwa mahupun kewujudan ‘Red Army’ di situ.

Ramli berkata video memaparkan dua lelaki sedang mencantas sayur kubis adalah anggota penguatkuasaan yang bertugas membersihkan tanah itu selepas kerajaan negeri membatalkan lesen pendudukan sementara (LPS), pada 18 Jan 2018, dan mengeluarkan notis pengosongan tanah.

Menurutnya, operasi pertama dijalankan, pada 28 Ogos 2019, yang turut melibatkan operasi mengeringkan dua kolam tadahan air kerana dikhuatiri boleh mendatangkan bahaya kepada penduduk setempat, sebelum disusuli operasi kedua pada Disember tahun sama melibatkan tanah seluas lebih 4 hektar.

Katanya, siasatan lanjut dilakukan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan iaitu fitnah serta di bawah Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia 1998. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.