`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Monday, May 2, 2022

Riang riuh raya

 

Macam mana boleh jadi keliru sambutan Hari Raya kali ini? Ramai, jika tidak semua orang Melayu Islam di negara ini menjangka, malah yakin Hari Raya akan jatuh pada Selasa, 3 Mei.

Tup tup malam 1 Mei, Penyimpan Mohor Besar Raja-raja mengumumkan Hari Raya Aidilfitri tahun ini ditetapkan pada 2 Mei. Cukup saya simpulkan jika anda orang Melayu, anda telah “dilanda” kelam-kabut kerana persiapan menyambut raya belum beres.

Saya ulangi – macam mana ini boleh terjadi? Ada sesetengah orang mendakwa ini kesilapan kalender yang mencatatkan 3 Mei sebagai persamaan 1 Syawal. Sesetengah orang pula mendakwa ada kalender sememangnya mencatat 2 Mei sebagai tarikh Hari Raya. Waullahualam.

Saya pula apabila “google” tarikh raya beberapa minggu lalu yang muncul ialah 3 Mei, kalau tak silap saya. Sebelum menulis artikel ini, saya “google” lagi, tetapi tarikhnya sudah jadi 2 Mei.

Rasanya, minggu lalu tular di media sosial hantaran individu yang mendakwa berdasarkan perkiraan atau kaedah “Imkanur Rukyah”, anak bulan akan “muncul” pada 29 Ramadan atau 1 Mei 2022, meskipun ia tidak dilihat mungkin kerana cuaca buruk.

Oleh itu, kata individu berkenaan, Isnin 2 Mei ialah 1 Syawal 1443 Hijrah, iaitu satu hari lebih awal daripada tarikh yang dicatatkan dalam kalender rasmi.

Oleh kerana Hari Raya khususnya Hari Raya Puasa begitu dekat di hati orang Melayu Islam, hantaran itu membuatkan ramai “teruja”.

Bagaimanapun, media pada 26 April lalu memetik pakar falak terkenal yang juga ahli panel rujuk falak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Hanafiah Abdul Razak, menyangkal hantaran atau “mesej” tular itu yang mendakwa Hari Raya akan disambut sehari awal daripada tarikh tertera dalam kalender.

Hanafiah dipetik berkata, hantaran itu “tidak berasas sama sekali” dan “saya tidak pasti dari mana sumber maklumat itu dan setakat ini hanya Penyimpan Mohor Besar Raja-raja yang secara rasmi memaklumkan tarikh tersebut”.

Jakim kemudin tampil menasihatkan semua pihak menghormati proses penentuan rasmi tarikh Hari Raya dan menyerahkan tanggungjawab itu kepada pihak berautoriti.

Terdahulu, Ketua Pengarah Jakim, Hakimah Mohd Yusoff dalam kenyataan memaklumkan, sejak sekian lama, Malaysia menggunakan kaedah Rukyah dan Hisab dalam menentukan awal bulan hijri, termasuk tarikh mula puasa, Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha.

Dalam pada itu, Arab Saudi, Qatar, Kuwait dan Mesir dilapor mengumumkan Hari Raya jatuh pada Isnin, 2 Mei.

Perlu dinyatakan, negara-negara itu mula berpuasa sehari lebih awal berbanding Malaysia, iaitu pada Sabtu bersamaan 2 April lalu.

Manakala Malaysia serta beberapa negara lain, termasuk Singapura dan Indonesia mula berpuasa pada Ahad, 3 April.

Indonesia menyambut Hari Raya pada 2 Mei dan Singapura pula pada Selasa, 3 Mei.

Saya ingin menampilkan laporan media bertarikh 29 April lalu yang memetik Mufti Perlis, Asri Zainul Abidin berkata (pada hari laporan disiarkan), sambutan Hari Raya Aidilfitri di negara ini mungkin jatuh pada Selasa (3 Mei) berbeza dengan kebanyakan negara Islam lain yang menyambutnya sehari lebih awal.

Asri dipetik sebagai berkata, kemungkinan itu kerana Malaysia menggunakan kriteria baharu Jakim dan Mabims, iaitu Pertemuan Tahunan Tidak Rasmi Menteri-menteri Agama negara Brunei Darussalam, Indonesia, Malaysia dan Singapura.

Kata beliau di Twitter: “Jika mengikut kriteria kebolehnampakan anak bulan yang digunakan sebelum ini, kemungkinan besar Isnin Hari Raya. Demikianlah kebanyakan negara umat Islam. Jika pakai kriteria baharu Jakim/Mabims mungkin tak nampak, maka kita mungkin raya Selasa.” Asri bagaimanapun tidak memberi butiran lanjut.

Dengan pengumuman Penyimpan Mohor Besar Raja-raja malam tadi, Mufti Wilayah Persekutuan, Luqman Abdullah menyatakan salah satu daripada 29 lokasi cerapan anak bulan mengesahkan kenampakan anak bulan Syawal, sekali gus menyaksikan 2 Mei diisytiharkan 1 Syawal.

Kata beliau, cuaca cerah serta tiada sebarang halangan telah memungkinkan anak bulan Syawal dilihat di Malaysia.

Maaf bukan kata, kata beliau serupa dengan hantaran media sosial individu tertentu yang awalnya dinafikan ahli falak Jakim?

Apa pun, maka jadilah apa yang terjadi. Pelbagai komen lawak dan sinis timbul. Lihat sahaja platform media sosial, antara yang menarik bagi saya ialah catatan yang berbunyi: “Dua tahun raya tak jadi, tahun ini raya terkejut.”

Salam Aidilfitri Minal Aidin Wal Faizin. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.