`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Wednesday, May 4, 2022

Siapa yang boleh diharapkan?

 

Suatu ketika dahulu (nak kata lama tak juga), ada dalam kalangan rakyat gemar berjenaka bahawa akan tiba masa giliran kita ke Indonesia bekerja sebagai pembantu rumah atau buruh.

Saya sendiri pernah mendengar “kelakar” itu sama ada disuarakan kawan-kawan mahupun orang yang tidak saya kenali.

Apa yang mendorong lawak itu ada pelbagai, namun ringkasnya untuk sakat atau mengusik kawan-kawan.

Itu dahulu. Sekarang kata-kata itu bukan lawak bukan jenaka. Ia boleh mencetus kebimbangan lawak jadi realiti.

Sekarang Indonesia sudah tinggalkan Malaysia pada pelbagai aspek. Bak kata bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad, beliau bersedia menerima hakikat bahawa Malaysia telah ketinggalan di belakang Indonesia dan Vietnam sejak akhir-akhir ini, malah ditinggalkan beberapa negara Afrika pada segi pembangunan.

Mungkin anda bukan penggemar Mahathir, namun apa yang beliau katakan bukan omong kosong. Ada benarnya, sama ada kita suka atau tidak mendengarnya.

Tetapi bukan bermakna bahan lawak yang saya sebut tadi akan jadi kenyataan terutama pada tempoh terdekat dengan berkatanya Mahathir demikian. Tidak bermakna warga Malaysia terpaksa jadi pembantu rumah dan buruh kasar di Indonesia dengan sekelip mata. Cuma perhatian mesti diberi kerana apa sahaja boleh berlaku. Mesti waspada.

Sebagai contoh, rujuk Greece. Kebanyakkan tradisi falsafah Barat bermula di Greece. Negara itu ada pemikir hebat antaranya Socrates. Greece mencipta konsep demokrasi. Sukan Olimpik bermula di Greece .Tamadun silamnya dikagumi.

Era moden Greece menyaksikan ia menjadi negara Eropah yang moden dan maju. Ekonomi berkembang sihat. Kadar pertumbuhan tinggi manakala hutang negara rendah. Semuanya indah belaka.

Tidak pernah terlintas dalam fikiran sesiapa negara yang bangga dengan tamadun silam dan era modennya boleh bertukar menjadi negara yang tidak mampu membayar hutangnya bermula pada 2000. Krisis itu serta merta membawa 1001 kesusahan untuk rakyat Greece.

Tanda-tanda malapetaka ekonomi akan melanda sudah kelihatan sebelum itu tetapi pemerintah tidak (atau tidak dapat ) bertindak cepat dan tepat bagi mengelakkan berlakunya malapetaka.

Lihat pula Sri Lanka. Sejarah yang cukup hebat. Ia juga membangun pesat pada era moden. Industri berkembang. Sektor pelancongan menjana pendapatan, begitu juga barangan eksport terutama teh. Sekadar mengambil dua contoh.

Namun lama-kelamaan ia dilanda krisis ekonomi. Pada 2016, hutang Sri Lanka melambung akibat membangunkan prasarana sehingga hampir tahap bankrap yang memerlukan bantuan atau “bailout” Tabung Kewangan Antarabangsa.

Pada 2021, negara itu isytihar ia mengalami krisis ekonomi besar. Tahun ini beban hutang terus menghentam Sri Lanka. Lalu ia dengan bantuan badan antarabangsa sekarang cuba membuat penjadualan semula hutang untuk mengatasi krisis yang terus mencengkam.

Seperti Greece, ada juga tanda amaran kelihatan di Sri Lanka sebelum krisis meletup. Krisis ekonomi seperti ini bukan bagai gempa bumi yang terjadi sekelip mata, namun pemerintah tidak terdaya atau gagal menyelamatkan keadaan.

Saya tidak bercadang memperinci mengapa krisis ekonomi berlaku di Greece dan Sri Lanka kerana penulisan ini bukan mengenai kedua-dua negara itu. Artikel ini mengenai Malaysia tercinta .

Lantas saya tegaskan perkembangan di Indonesia dan Vietnam yang diutarakan Mahathir mesti membuka mata. Jika negara tidur, bangunkanlah daripada tidur. Ambil iktibar apa yang telah berlaku di Greece and Sri Lanka. Seperti dikatakan tadi apa sahaja boleh berlaku. Jika ada tanda amaran (yang tentunya ada) ambillah tindakan segera.

Tidak perlu kita berdalih atau hidup dalam penafian. Kita juga ada masalah. Bak kata Anwar Ibrahim, hari demi hari negara dikejutkan dengan pelbagai perkara yang beliau kira “amat mendukacita dan membimbangkan”.

Lalu Anwar tempoh hari menyenarai enam perkara yang memerlukan tindakan dan langkah serta penjelasan segera kerajaan.

Enam perkara yang diketengahkan ialah isu melibatkan SPRM dengan badan kehakiman negara berkait Hakim Nazlan Ghazali, dan isu mahkamah Perancis menyiasat syarikat aset pertahanan Thales kerana terbabit dalam skandal rasuah transaksi penjualan kapal selam kepada Malaysia pada 2002.

Juga pendedahan terkini mahkamah di New York yang menyentuh skandal 1MDB. Satu lagi isu yang dibangkitkan ialah yang melibatkan Serba Dinamik serta Suruhanjaya Sekuriti. Turut ditonjolkan kejatuhan parah ringgit Malaysia yang Anwar dakwa ialah kerana “hilang keyakinan terhadap dasar dan keupayaan kerajaan dalam mengemudi ekonomi”.

Yang terakhir berkaitan kos sebenar projek MRT yang kini mencecah RM60 bilion. Sehingga artikel ini ditulis belum ada reaksi perdana menteri terhadap perkara yang dibawa Anwar.

Mungkin anda tidak “meminati” Anwar seperti anda tidak “meminati” Mahathir, namun tidak dinafikan apa yang dibangkitnya isu besar yang wajar diberi perhatian.

Janganlah mengetepikan apa yang dikatakan hanya kerana beliau pembangkang. Soal pro-pembangkang atau pro-kerajaan tolak tepi sekejap. Ini bukan mengenai suka atau benci pembangkang.

Sebenarnya ada lagi masalah yang perlu diberi perhatian pentadbiran Ismail Sabri Yaakob. Yang paling mendesak berkaitan inflasi dan harga barang yang mesti ditangani segera dengan berkesan agar beban rakyat sekurang-kurang dapat diringankan secepat mungkin.

Turut mesti diteliti ekonomi yang tidak menentu, apa lagi terkesan teruk kerana wabak Covid-19.

Ada lagi. Bagi saya kaji segera prestasi, kebolehan, juga kemampuan anak-anak yang pembelajaran terjejas teruk apabila PKP dikuatkuasakan kerana ancaman Covid-19. Pastinya gangguan ke atas pembelajaran mereka terutama anak-anak yang memasuki tahun satu pada 2020 dan 2021 meninggalkan kesan negatif.

Sejauh mana pencapaian mereka setakat ini? Bolehkah mereka membaca? Ada pihak mendakwa ramai anak-anak yang memulakan alam persekolahan pada waktu pandemik mengalami kesukaran membaca sehingga kini.

Pelajar “lama” juga dikatakan berada dalam kesulitan; mengejar pembelajaran yang tertinggal walaupun diajar menerusi talian. Waullahualam.

Jika benar apa usaha yang diambil untuk mengatasi masalah yang dihadapi? Bagaimana cara menolong mereka? Ini misi amat penting yang mesti dijalankan kerajaan demi masa depan anak-anak, demi masa depan negara.

Di samping itu misi penting kerajaan juga ialah supaya negara bersaing dengan negara-negara jiran yang sudah “menewaskan” kita, dan memastikan apa yang terjadi ke atas Sri Lanka dan Greece umpamanya tidak berlaku ke atas Malaysia.

Wabak Covid-19 ada redanya namun jangan kita lalai dengan keadaan ini atau mengizinkan ia melalaikan kita.

Ramai percaya PRU15 akan diadakan tidak lama lagi. Jika ya pada waktu itu kelak Malaysia mesti memilih siapa yang kita fikir mampu melaksanakan langkah membaiki keadaan yang disenaraikan.

Dalam lain perkataan siapa yang boleh menyelamatkan negara. Adakah kerajaan sedia ada? BN? PN? PH? Atau golongan lain - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.