PETALING JAYA: Sebanyak 850 peket minyak masak satu kilogram ‘licin’ hanya dalam tempoh 15 minit selepas penjualan barang bersubsidi itu diserbu hampir 1,000 penduduk dari lima kampung, di Tanah Merah, Kelantan.
Program dianjurkan Gerakan Pengguna Mahasiswa (GPS) Universiti Malaysia Kelantan itu merupakan program advokasi demi memudahkan penyaluran minyak masak bersubsidi diterima secara langsung kepada golongan sasar.
Setiausaha Politik Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Zahari Kechik, berkata jualan minyak masak berkenaan dimanfaatkan hampir 1,000 penduduk dari Kampung Jedok, Kampung Jedok Tua, Kampung Mok Jintan, Kampung Bendang Besar dan Kampung Banggul Yek.
“Dengan adanya pelaksanaan program seperti ini sekurang-kurangnya jualan minyak bersubsidi dapat disasarkan kepada golongan sasaran yang tepat terutamanya golongan B40. Insya-Allah, ia akan dilaksanakan secara berkala pada masa akan datang berdasarkan keperluan,” katanya menurut Bernama.
Seorang penoreh getah, Wan Noriah Wan Ahmad, 59, berkata minyak masak dengan isi padu 1kg yang dijual pada harga RM2.50 itu dapat menjimatkan perbelanjaan beliau sekeluarga berbanding menggunakan minyak botol.
“Menerusi program yang dilaksanakan pada hari ini saya berpeluang untuk membeli minyak bersubsidi sebanyak empat paket yang diperuntukkan bagi setiap keluarga sekali gus dapat menampung kegunaan kami sekeluarga selama sebulan,” katanya.
Seorang penduduk Wati Mohamad, 44, dari Kampung Air Merbo bersyukur kerana berkesempatan membeli minyak masak menerusi program itu memandangkan sebelum ini terpaksa membeli minyak paket di pasaran berharga antara RM3 sehingga RM3.50 sepeket.
Katanya, beliau berharap program yang dianjurkan itu dapat dilaksanakan lagi pada masa akan datang, sekali gus memudahkan penduduk kampung terutamanya di luar bandar untuk meraih bekalan minyak bersubsidi.
“Ini merupakan program pertama yang saya hadiri selepas mendapat tahu daripada jiran tetangga. Saya berharap ia dapat dilaksanakan secara berkala memandangkan ia dapat meringankan beban penduduk kampung terutamanya ketika kenaikan harga barangan-barangan lain ketika ini,” kata ibu kepada empat orang anak itu. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.